Bintang Arsenal, Smith Rowe dedah nenek sebelah ibu berasal dari Rembau, Negeri Sembilan

Bintang Arsenal, Smith Rowe dedah nenek sebelah ibu berasal dari Rembau, Negeri Sembilan

Bintang Arsenal, Emile Smith Rowe mengakui mempunyai hubung kait dengan Malaysia menerusi keluarga sebelah ibunya yang dikatakan berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Menerusi perkongsian @frfuturetalents, akaun itu mendedahkan tangkap layar e-mel Smith Rowe, 23, yang menjawab kepada persoalan yang diajukan kepadanya.

“Memang betul, nenek saya sebelah ibu lahir di Malaysia atau lebih tepat di Rembau, Negeri Sembilan jika saya tidak silap.

Bintang Arsenal, Smith Rowe dedah nenek sebelah ibu berasal dari Rembau, Negeri Sembilan

“Jadi, itu menunjukkan saya memiliki hubungan dengan Malaysia. Tambahan pula, sebelah bapa, saya amat berbangga dengan (darah) warisan Jamaica,” katanya.

Menerusi data yang dikongsikan laman Transfermarkt, Smith Rowe melakukan 13 penampilan sepanjang musim 2023/24 bersama Arsenal selain turut mencipta dua bantuan jaringan.

Smith Rowe yang sudah pun merekodkan tiga penampilan bersama skuad kebangsaan England masih memiliki kontrak bersama The Gunners sehingga Jun 2026 dan ketika ini mempunyai tanda harga bernilai €22 juta (RM111 juta).

Nama Smith Rowe bukan asing lagi bagi para peminat Arsenal memandangkan dia pernah menjadi penyelamat pasukan itu dengan persembahan memukau pada musim 2021/2022 dengan menghasilkan 10 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, Smith Rowe yang dilahirkan di Croydon, England pada 28 Julai 2000, gagal menampilkan prestasi hebatnya sejak dilanda pelbagai siri kecederaan yang memaksanya menjalani beberapa pembedahan hingga menjejaskan peluangnya dalam kesebelasan utama Arsenal.

Difahamkan, Arsenal kendalian Mikel Arteta kini dikaitkan dengan spekulasi perpindahan menyertai Fulham dan Aston Villa yang dibimbing oleh bekas pengurusnya, Unai Emery.

Baca Juga:
Anggota separa tentera beli rokok RM1,063 guna duit syiling, juruwang lapor polis
Ramai ‘sentap’ lihat warga asing makan nasi berlaukkan air kosong
Pelancong wanita hanya berseluar dalam bertahan atas pokok 12 jam
CATEGORIES