Bilionair terkenal bawa 4,500 pekerja bercuti di Vietnam, menginap di hotel lima bintang.
Seorang bilionair farmaseutikal dari India akan membawa kira-kira 4,500 pekerja ke Vietnam pada akhir bulan ini, lapor portal berita Tuoi Tre News hari ini.
Para pekerja tersebut akan melawat tiga kawasan di utara Vietnam, termasuk Hanoi, Wilayah Ninh Binh, dan Teluk Ha Long di Wilayah Quang Ninh.
Perjalanan ini akan ditaja oleh Sun Pharmaceutical Industries Limited, sebuah syarikat farmaseutikal multinasional yang berpangkalan di India dan diasaskan oleh Dilip Shangvi, salah seorang bilionair terkaya di negaranya.
Kakitangan Sun Pharmaceutical akan tiba di Vietnam dalam beberapa kumpulan kecil antara 27 Ogos hingga 7 September depan, mengikuti jadual perjalanan yang telah dirancang sebelumnya.
“Setiap kumpulan akan melawat Hanoi terlebih dahulu, diikuti oleh Ninh Binh dan Teluk Ha Long,” kata pengarah pemasaran agensi pelancongan Vietravel, Nguyen Nguyet Van Khanh.
Beliau berkata, para pekerja tersebut akan menikmati penginapan di hotel empat dan lima bintang di setiap destinasi.