Sebuah flat kecil di Shanghai, menjadi viral di media sosial kerana ruangannya yang diatur dengan katil terletak di belakang tandas, sekali gus menimbulkan masalah perumahan yang dihadapi di bandar metropolitan itu.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, flat tersebut menawarkan kadar sewa bulanan sebanyak 300 yuan (kira-kira RM196). Unit itu berukuran 4.9 meter persegi dan sebenarnya berada di bawah tangga.
Ia memiliki bilik tidur dengan tandas dan singki di hadapan tilam, dengan tangga konkrit di atas kepala.
“Rumah idaman!” kata ejen hartanah itu dalam iklan video, menyatakan bahawa dalam pasaran hartanah Shanghai, ini adalah peluang yang terlalu baik untuk dilepaskan.
Ejen tersebut menyatakan, kadar sewa bulanan AS$40 (kira-kira RM187) untuk bilik tidur, bilik mandi, dapur, dan ruang tamu adalah tawaran yang sangat baik.
Unit tersebut disewa oleh pemandu platform e-hailing Didi, pada hari yang sama iklan itu dipaparkan.
Melalui perkongsian video, setelah pintu unit itu dibuka, terlihat ruang tamu dengan ruang untuk hanya seorang berdiri dan papan kayu bertindak sebagai dinding, memisahkan flat tersebut dari rumah jiran.
Dapur terletak di sebelah kiri ruang tamu.
“Malah ada tingkap sebenar. Ia sangat luas. Jika kawan datang, anda boleh memasak dan duduk di tangga untuk menikmati hidangan bersama-sama,” katanya.
Bilik tidur dan bilik air terletak di sebelah kanan, tanpa tingkap.
Penyewa mesti tidur di atas lantai, menghadap tandas dan pemanas air tergantung di sebelah katil.
“Berhati-hati ketika mandi, atau katil anda akan basah.
“Jika anda ingin menambah penghawa dingin, sewa akan dinaikkan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM65),” seloroh ejen tersebut.
“Ini sama sekali tidak perlu kerana tinggal di bilik seperti ini sudah membuatkan hati kamu sejuk,” katanya.
Menurut Baisen Appraisal, sebuah agensi penilaian hartanah tempatan, purata sewa untuk flat satu bilik di Shanghai adalah lebih daripada 5,134 yuan (kira-kira RM3,363) sebulan.