Bila tiba Tahun Baharu Cina, limau kumquat pasti ada, ini simbolnya yang ramai tak tahu.
Malaysia merupakan negara majmuk yang memiliki kepelbagaian bangsa, budaya dan agama.
Disebabkan kepelbagaian itu, hampir semua perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas akan disambut oleh rakyat Malaysia.
Misalnya hari ini, masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di Malaysia akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
Perayaan ini semua sudah sedia maklum, tidak asing lagi dengan hiasan berwarna merah dan limau mandarin.
Limau kumquat selalu ada semasa Tahun Baru Cina, apa simbolnya?
Bercakap soal buah, satu lagi limau dalam keluarga sitrus juga sering dilihat menghiasi venue atau rumah masyarakat Cina ketika menyambut perayaan tersebut.
Buah yang dimaksudkan adalah limau kumquat, iaitu buah limau yang dipercayai paling kecil dalam keluarga sitrus.
Apa itu kumquat?
Menurut SCMP, fizikal limau kumquat menyerupai nuget emas. Manakala perkataan kumquat itu pula berasal daripada aksara Kantonis iaitu “gum gat’”.
“Gum” beerti emas, manakala “gat” pula bermaksud oren (merujuk kepada buah, bukan warna).
National Park of Singapore pula berkata, pokok buah ini menjadi simbol kepada kekayaan dan kemakmuran.
Memetik All Recipes pula, tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan di Asia Tenggara.
“Oren emas” kecil ini mempunyai kulit nipis yang boleh dimakan, memiliki komposisi membran dan pulpa yang lebih tinggi berbanding buah sitrus yang lainnya.
Apabila sudah masak, rasa buah ini biasanya adalah manis. Walaupun kumquat selalunya berbentuk sfera, sesetengah spesies boleh ditemui berbentuk bujur telur atau berbentuk loceng.
Ada peranan dalam masakan & perubatan tradisional
Walaupun limau kumquat sering muncul dan digunakan sebagai simbol dalam perayaan Tahun Baru Cina, namun buah ini juga ada peranan besar dalam dunia masakan.
Selain itu, buah limau kumquat juga boleh diolah dan menjadi penawar kepada sakit tekak serta batuk dalam perubatan tradisional masyarakat Cina.