Bila kantung negara cukup baik, saya akan utamakan penjawat awam – PM Anwar. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.
Perdana Menteri berkata, secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen yang diberikan namun ia perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.
“Kalau kantung bertambah baik defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah), dan sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik antaranya di negeri kemudian hasil bertambah, proses itu boleh dipercepat.
“Cuma untuk hari ini saya fikir sukarlah, itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Selasa.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Ketika menyampaikan amanat pada majlis itu, Anwar berkata negara berdepan defisit fisikal sebanyak 5.6 peratus dan jumlah hutang kira-kira RM1.5 trilion yang perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kemakmuran negara terutama dari segi ekonomi.
“Beberapa bulan ini bila pulangan kita dua bilion, tiga bilion, lapan bilion masuk dalam kantung kewangan negara, satu sen pun tidak bocor, kalau bocor siaplah… semua tahulah saya buat macam macam mana.
“Kalau kantung negara cukup, penjawat awam percayalah saya akan beri keutamaan kepada nasib anda semua… kerana khidmat dan dedikasi anda wajar diberikan gaji dan upah yang lebih baik,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya mengamalkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan Malaysia dapat diurus dengan sempurna selain kewangan negara dapat dipulihkan dengan segera.
“Saudara dan saudari semua berkerjalah dengan baik kerana banyak lagi yang kita belum selesaikan misalnya isu kemiskinan dan Lebuhraya Pan Borneo, kita selesaikan untuk rakyat kita dengan segera,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan agar Labuan dikembalikan kepada Sabah dalam sidang media itu, Anwar berkata apa yang penting ketika ini ialah Kerajaan Persekutuan menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk memulihkan Wilayah Persekutuan itu sebagai pusat kewangan yang kukuh.
“Ia bukan satu isu. Isu utama ialah kita menyaksikan beberapa pembangunan yang lembap di Labuan jadi kita perlu mengambil langkah di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri untuk cuba memulihkan keadaan di Labuan,” katanya.
Menyentuh cadangan membina jambatan di antara Sabah dan Labuan, Perdana Menteri berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut ekonomi dan ketika ini, kerajaan pusat mengambil pendirian untuk berbelanja setakat yang termampu.
Pada 26 Jan lepas, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak serius dalam membangunkannya dan gesaan agar ia dikembalikan kepada Sabah bukanlah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan ekonomi pulau bebas cukai itu semakin lemah sejak diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan kira-kira 38 tahun lalu