Sebut sahaja madu, pasti haiwan atau serangga yang terlintas dalam fikiran tentunya lebah, bukan?
Ini kerana ia lebih terkenal dengan penghasilan madu daripada sarangnya. Bahkan sesetengah orang membuka ladang madu disebabkan permintaan yang tinggi dengan cecair manisan ini.
Tahukah anda, sebenarnya terdapat serangga lain yang juga mampu menghasilkan madu seperti lebah, dan ia datang daripada seekor semut.
Fakta menarik semut madu
Semut? Ya, semut yang dimaksudkan ini dikenali sebagai Semut Madu.
Haiwan ini boleh ditemui di Australia, Afrika Utara dan Selatan, Amerika Utara, dan kepulauan Pasifik barat daya.
Ia juga boleh ditemui di padang pasir yang kering dan separa gersang dengan hidup di bawah tanah.
Kalau nak tahu, semut madu ini mempunyai 34 spesies yang tergolong dalam tujuh kumpulan yang berbeza antaranya spesies Camponotus inflatus yang berasal dari Australia dan Myrmecocystus yang merupakan spesies dari Amerika Utara.
Menurut Atlas Obscura, semut madu atau honeypot adalah spesies semut yang memakan nektar (sejenis cecair yang dikeluarkan oleh tumbuhan atau bunga dan ia mengandungi hampir 80 peratus air dan sebatian gula kompleks) dan menyimpannya di dalam perut.
Langkah ini bertujuan sebagai simpanan makanan sekiranya berlaku kekurangan makanan seperti semasa musim sejuk.
Menjelang musim sejuk, kira-kira 1,000 daripada 5,000 koloni semut madu akan memakan nektar yang dikumpul daripada tumbuhan berbunga.
Nektar akan disimpan di dalam perut hingga bentuk perutnya membesar dan dalam beberapa kes, semut madu menyimpan madu terlalu banyak sehingga perutnya meletup.
Bukan itu sahaja, semut ini juga berkongsi makanan dengan seluruh koloni, dengan cara menyuap dari mulut ke mulut. Sekiranya bekalan makanan habis, seluruh koloni akan mati.
Kebiasaannya, warna perut semut madu adalah berwarna coklat gelap dan muda.
Nektar (madu) yang disimpan kebanyakannya terdiri daripada gula, manakala kandungan air pula lebih banyak disimpan di dalam perut yang warnanya lebih terang, lapor Facts Animal.
Disebabkan haiwan ini menyimpan madu di dalam perut, ia sering dicari oleh orang asli dari Australia Barat dan Amerika Utara itu sejak dahulu.
Menurut penyelidik pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, semut ini turut dimakan oleh orang asli di negara lain.
Rasa madunya
Madu yang dihasilkan oleh serangga ini mempunyai rasa manis yang sedikit ‘tajam’. Ia disebabkan kehadiran asid formik yang dirembeskan semut apabila berasa dalam bahaya.
Siap dijual di pasar
Tidak hanya itu, semut ini juga pernah dijual di kawasan pasar bandar Mexico, memetik catatan wartawan Peter Lund Simmonds pada tahun 1885.
Madu yang terdapat dalam perut serangga itu akan ditapai untuk membuat minuman beralkohol.
Sementara itu, bagi orang Tjupan, yang berasal dari wilayah Goldfields di Australia Barat, mereka menggunakan madu semut ini sebagai bahan perubatan.
Madu serangga ini yang pekat dan manis boleh digunakan secara tradisional untuk melegakan sakit tekak termasuk boleh disapu pada luka atau melecet untuk mengelakkan jangkitan.
Difahamkan, semut ini boleh dimakan oleh manusia kerana madu di dalam badannya berkesan untuk beberapa jangkitan bakteria dan kulat.
Perkara itu dibuktikan dalam satu kajian pada 2023 mendedahkan madu daripada semut ini bersifat antimikrob dan mempunyai kandungan kimianya yang unik.