Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, saya takkan tarik balik gelaran ‘penyondol’ untuk budak ini – Fauziah Sarman

Photo of author

By Syima Iza

Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, saya takkan tarik balik gelaran ‘penyondol’ untuk budak ini – Fauziah Sarman.

Kemelut Fauziah Sarman, 55, dengan bekas suaminya yang juga penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 62, belum berakhir apabila luahan hati panjang lebar dikongsikan Fauziah di Instagram yang jelas menunjukkan kepedihan mendalam.

Menerusi hantaran dimuat naik berdasarkan petikan beberapa video mengenai isu kereta didakwa ‘dicuri’ dan gelaran penyondol kepada bekas madunya, Fauziah yang juga ibu kepada penyanyi popular, Shila Amzah menafikan dia masih tidak ‘move on’ dengan apa yang sudah berlaku.

Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, saya takkan tarik balik gelaran 'penyondol' untuk budak ini - Fauziah Sarman

“Seorang wanita istimewanya sudah terlahir dengan sifat punya emosi dan dengan emosi inilah wanita kuat untuk menjadi apa saja, baik yang punya suami, yang ada anak-anak atau mereka yang ditakdirkan Allah untuk hidup sendirian.

“Saya menulis kali ini bukan untuk terus mendedahkan aib peribadi saya tetapi ada banyak perkara seakan perlu saya jelaskan. Ada yang merasakan saya tidak boleh ‘move on’ dengan apa yang sudah Allah tulis untuk saya, sedangkan jiwa saya sangat tenang secara ‘total’,” katanya.

Fauziah berkata, apakah meluah rasa tanda orang itu ‘meroyan’ dan tidak menerima kenyataan kerana akuinya dia sangat bersyukur apabila dilepaskan (cerai) mengikut undang-undang agama.

“Kisah panjang berkaitan isu kereta yang membabitkan anak lelaki kami, di situlah terbongkar segalanya dengan bukti yang membuka mata dan jiwa saya yang selama ini tertipu dengan lakonan dibuat.

“Apa perasaan kalian melihat bukti yang sahlah suami saya ketika itu sudah bernikah dengan perempuan yang pernah bersama-sama kami anggap seperti anak? Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Saya takkan tarik balik gelaran ‘penyondol’ untuk budak ini,” katanya.

Fauziah turut mendedahkan mengenai nafkah dirinya yang diabaikan serta mendakwa selama bertahun-tahun oleh bekas suami yang tidak bekerja dan kehidupan mereka ditanggung oleh seorang anak yang berbakti untuk keluarganya.

“Tanyalah diri, berapa lama nafkah saya diabaikan. Cerminlah diri, bertahun-tahun anda tidak bekerja. Kena sedar kehidupan terbina sekarang hasil dari titik peluh seorang anak yang tidak pernah berkira untuk keluarganya.

“Saya pernah dididik oleh bekas suami bahawa ‘setiap tindakan ada akibatnya’. Jadi, bagi saya apa yang terjadi sekarang, satu persatu kisah yang kami simpan selama ini adalah kifarah yang Allah zahirkan,” katanya.

Mengaku tiada niat untuk membuka pekung di dada, Fauziah berkata, dia percaya apa yang benar tidak akan menipu apabila sampai masanya.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, mengesahkan lafaz cerai dibuat ND Lala terhadap Fauziah secara ‘voice note’ (rakaman suara) di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah.

Pasangan ini yang sudah hidup bersama selama 34 tahun dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Shahila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

Namun, ND Lala pada penjelasan dibuat dalam video dimuat naik di Instagram pada 8 September lalu mengaku sudah berkahwin dengan Siti Munirah Abdul Ghani, 33, yang pernah didedahkan sebelum ini oleh Fauziah di Instagram pada April lalu.

ND Lala juga menepis dakwaan isterinya, Siti Munirah adalah ‘penyondol’ kerana dia sendiri bertemu dengan bapa mentuanya untuk meminta izin dan restu memperisterikan wanita terbabit.- Sumber

Baca Lagi:
Selepas video ‘berendam’ bersama suami tular, pengikut Instagram Fasha Sandha naik mendadak lebih 25,000 orang
“Dia tarik kain jubah dan tutup tirai kereta” – Mondy dakwa disentuh dan cuba dikucup
Suami pukul dirinya sendiri di depan orang ramai selepas dapat tahu isteri curang