Berang tuntut fasakh, suami bunuh isteri dalam bilik hotel

Photo of author

By Syima Iza

Seorang lelaki menyerah diri di balai polis selepas membunuh isterinya dengan menggunakan pisau dalam sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Md Noor Aehawan Mohamad, berkata suspek berusia 36 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah pada kira-kira jam 2 petang.

Beliau berkata suspek menyerah diri di kaunter aduan dengan memaklumkan dia telah membunuh isterinya yang berusia 32 tahun dalam bilik di hotel terbabit. “Bertindak terhadap maklumat itu, pihak polis menemukan mangsa dengan kesan tikaman termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Berang tuntut fasakh, suami bunuh isteri dalam bilik hotel

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

“Suspek dan mangsa hadir ke hotel secara berasingan dan menginap di bilik sama semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP V.K. Gunaselan, di talian 012-3634341 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Johari ketika ditemui di Batu Gajah berkata pihaknya tidak menyangka nasib anak saudaranya itu berakhir dengan tragedi menyedihkan.

“Memang dia dan suami tidak sefahaman dan rumah tangga mereka mengalami keretakan hingga ke fasa penceraian namun tidak sangka terjadi perkara seperti ini.

“Mungkin mereka bertemu untuk berbincang namun ia menjadi kecoh selepas mangsa tidak pulang ke rumah semalam dan hari ini saya terima berita beliau sudah tiada,” katanya.

Baca Juga:
Wanita dipaksa ‘resign’ dengan cara yang salah, menang saman hampir RM200k terhadap majikan
Tular ‘Parcel’ dibungkus dengan ayat suci al-Quran, syarikat kurier tampil buat laporan polis
Jemaah masjid terkejut bayi ditemui atas sejadah