Berang dituduh suruh anak bercerai, akhirnya Abby Abadi buka mulut.
Penyanyi dan pelakon, Abby Abadi mendedahkan tidak pernah mengiya atau mengesahkan pernikahan anaknya, Marissa Dania Hakim, 19, dengan lelaki dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand.
Justeru, Abby mempersoalkan bagaimana boleh timbul dakwaan dan laporan dia dan bekas suami, Norman Hakim, memaksa Marissa dan Aslam, bercerai.
“Saya tak pernah mengiyakan soal pernikahan di Thailand. Macam mana kata saya suruh mereka bercerai pula?
“Tanpa rasa bersalah reka cerita tanpa kesahihan, kerja tiada etika ke macam mana?” katanya.
Abby membuat pendedahan itu pada hantaran Instagram Story (IGs) terkini, tengah hari ini. Pada entri itu, Abby turut memaparkan laporan media yang antara lain menyebut dirinya dan Norman, meminta Marissa dan Aslam, bercerai.
Abby berkata, sejak isu pernikahan anaknya diperkatakan, dia tidak pernah membela atau memenangkan anaknya.
“Muktamad, sebagai ibu, dari awal timbul isu ini, saya tak pernah bela dan menangkan anak.
“Kalau betul berlaku seperti yang digembar-gembur, Allah lah sebaik-baik tempat mengadu dan semoga Allah melindungi anak-anak saya,” tulisnya.
Kelmarin kecoh kisah Marissa dan Aslam bernikah di Songkhla pada 27 Disember lalu. Pasangan itu dikatakan berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan, yang dilapor sedang menunaikan umrah.
September lalu, Misya mendakwa suaminya curang dengan dengan Marissa, iaitu anak perempuan Abby dan Norman.
Melalui hantaran media sosial, Misya mendakwa Marissa yang juga pempengaruh, menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suami. Bagaimanapun, Misya dan Aslam dikatakan rujuk semula ketika dalam tempoh edah.