Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak.
Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera hingga maut oleh teman lelaki ibunya yang dipercayai hanya kerana muntah di atas sofa kesayangannya.
Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku menekan perut dan menendang mangsa secara agresif, hingga menyebabkan tengkorak selain organ dalam perut pecah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali, selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.
Beliau berkata akibat perbuatan kejam itu, tengkorak mangsa itu pecah selain organ dalam perut turut pecah.
“Sebaik tiba di Hospital Melaka (HM) pada 6.50 pagi, kanak-kanak yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam.
“Namun doktor mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Christopher berkata, mangsa dihantar ke rumah suspek berusia 25 tahun di Cheng oleh ibu mangsa berusia 24 tahun yang juga teman wanita suspek, untuk berubat jam 5.30 pagi semalam, selepas dikatakan kerap muntah.
Bagaimanapun katanya, 40 minit kemudian, suspek menghubungi ibu mangsa memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum kedua-dua mereka membawa mangsa ke HM.
Katanya, mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM jam 10.30 pagi untuk tindakan selanjutnya dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan badannya.
Beliau berkata, ibu kandung mangsa dan teman lelakinya kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Dalam pada itu kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai bagi membantu siasatan kes.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Terdahulu kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada jam 8.30 pagi.