Bekas pengawal keselamatan menang saman RM1.8 juta

Photo of author

By Syima Iza

Bekas pengawal keselamatan menang saman RM1.8 juta.

Seorang bekas pengawal keselamatan, P. Thinnagaran, 28, menerima pampasan RM1.8 juta selepas Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan beliau mengalami kecederaan otak kekal akibat kecuaian perubatan ketika dirawat di Hospital Taiping, lapor NST.

Insiden itu berlaku selepas beliau terlibat dalam kemalangan motosikal lapan tahun lalu.

Bekas pengawal keselamatan menang saman RM1.8 juta

Kes ini menyaksikan Thinnagaran menamakan kerajaan, pengarah Hospital Taiping, serta tiga doktor — Dr. Mohamad Hazwan Zulkifli, Dr. Mohan Raj Sundram, dan Dr. Norsaliza Ikma Mohd Yusof — sebagai defendan.

Pada 2 Januari 2016, Thinnagaran terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika menunggang motosikal di Jalan Transkrian.

Beliau dikejarkan ke Hospital Taiping dengan kecederaan parah, termasuk patah tulang panjang berganda yang meningkatkan risiko Fat Embolism Syndrome (FES).

FES ialah keadaan kritikal di mana zarah lemak dari tulang yang patah masuk ke aliran darah, menyebabkan masalah pernafasan, kekeliruan, dan ruam merah kecil pada kulit.

Namun, di antara jam 2 pagi hingga 6.50 pagi keesokan harinya, tiada pemantauan dilakukan terhadap Thinnagaran, walaupun beliau berisiko tinggi mengalami FES.

Akibatnya, pada pukul 7 pagi, beliau mengalami FES yang tidak dapat dikawal.

Menurut hakim Noor Ruwena Md. Nurdin, tindakan doktor menangguhkan pembedahan sehingga jam 8 malam, lebih 24 jam selepas kemalangan, telah membawa kepada kerosakan otak kekal akibat kekurangan oksigen dan aliran darah.

“Otaknya kekurangan oksigen selama lebih 12 jam sementara defendan menunggu keadaan stabil. Keputusan ini menyebabkan kecederaan kekal dan mengakibatkan plaintif kini lumpuh separa,” katanya.

Hakim turut menyatakan bahawa kegagalan pemantauan rapi oleh jururawat serta ketidakupayaan doktor untuk mengenal pasti dan merawat FES dengan cepat telah memburukkan keadaan plaintif.

Hakim juga menambah bahawa Thinnagaran mengalami trauma mental selain kecederaan fizikal.

Beliau kini menghadapi kecacatan kognitif, tekanan, dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan peribadi.

Peguam PA Sharon, R. Krishnaveni, dan Gowri Subbaiyah mewakili Thinnagaran, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norazlinawati Mohd Arshad bertindak bagi pihak defendan.

Difahamkan, pihak defendan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut pada 2 Ogos lalu.

Baca Lagi:
Orang Islam boleh ke pakai topi & baju santa claus? Ini jawapan dari Dr. Kamilin
Air laut Thailand menjijikkan, penuh dengan najis manusia
Lelaki umur 20 tahun raih pendapatan RM7,000 sebulan hasil kerja di ladang sawit