Bekas pengarah syarikat dan suami didakwa pecah amanah, sembunyi wang hampir RM50,000

Photo of author

By Syima Iza

Bekas pengarah syarikat dan suami didakwa pecah amanah, sembunyi wang hampir RM50,000. Bekas pengarah sebuah syarikat hemodialisis dan suaminya didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan berasingan, melakukan pecah amanah dan menyembunyikan wang hampir RM50,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh Zanariah Apit, 52, dan Saifuddin Mohamad, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, Zanariah yang diamanahkan dengan wang tunai RM49,200 milik Haemodialysis Yakin Jaya, didapati melakukan pecah amanah iaitu dengan menyalahgunakan wang berkenaan di Taman Peringgit Jaya pada 11 Februari 2020, antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bekas pengarah syarikat dan suami didakwa pecah amanah, sembunyi wang hampir RM50,000

Dia dituduh mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suaminya didakwa menyembunyikan suatu harta melalui akaun Maybank miliknya iaitu wang dipindah daripada Haemodialysis Yakin Jaya berjumlah RM49,200, pada tarikh sama di Jalan Hang Tuah.

Tertuduh pada masa itu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta itu diperoleh dengan cara penyelewengan dan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ehsan Nasaruddin, manakala tertuduh diwakili peguam Jefri Jaafar.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 dan perbicaraan ditetapkan pada 15, 21 dan 22 Mac depan.

Baca Lagi:
Artis lelaki popular era 80-an bernikah lagi satu secara rahsia – Sumber
Penunggang motosikal berambut pink buat provokasi di jalanraya diburu polis
Anak stres mak ayah kawal duit, masa kahwin duit ‘salam kaut’ lesap dibuat pergi bercuti dan beli emas