Bekas pegawai tak kisah jika Syed Saddiq masuk penjara

Bekas pegawai tak kisah jika Syed Saddiq masuk penjara

Bekas pegawai tak kisah jika Syed Saddiq masuk penjara. Bekas pegawai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, dia tidak kisah jika Ahli Parlimen Muar itu dipenjarakan sekiranya didapati bersalah bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Siti Nurul Hidayah, 27, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha peribadi Syed Saddiq, ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, juga menafikan dia menjadi saksi pembelaan semata-mata bagi mengelakkan ahli politik itu daripada dimasukkan ke penjara.

Muhammad Asyraf sebelum itu mencadangkan demikian kepada Siti Nurul Hidayah pada prosiding bela diri oleh Syed Saddiq yang kini Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), yang didakwa dengan empat pertuduhan.

Bekas pegawai tak kisah jika Syed Saddiq masuk penjara

“Saya tidak kisah sebenarnya jika Syed Saddiq masuk penjara, selagi bukan saya (masuk penjara),” kata saksi keempat pembelaan perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang menghadapi empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Siti Nurul Hidayah bersetuju dengan cadangan dia terpilih menganggotai ‘Team Saddiq’ yang berperanan membantu gerak kerja khidmat mempromosi Syed Saddiq, adalah kerana mempunyai hubungan rapat dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Menurut saksi berkenaan, dia pada awalnya hanya membantu secara peribadi, namun terpilih menyertai pasukan berkenaan selepas ada ura-ura Syed Saddiq akan bertanding di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Siti Nurul Hidayah berkata, ‘Team Saddiq’ yang ditubuhkan awal 2018 mula melakukan gerak kerja khidmat lebih kurang dua bulan sebelum PRU-14 dan sepanjang tempoh itu, menganjurkan lebih kurang 10 program untuk mempromosi Syed Saddiq sebagai calon Ahli Parlimen Muar.

Katanya, Presiden MUDA itu menggunakan wang sendiri dalam menjayakan semua program dianjurkan ‘Team Saddiq’ tanpa bantuan kewangan daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) atau BERSATU ketika itu.

Dia menjelaskan, oleh kerana menggunakan wang sendiri, ‘Team Saddiq’ mula merancang menganjurkan majlis meraih dana bagi membantu Syed Saddiq dalam kempen PRU-14 di Parlimen Muar, iaitu ‘Makan Amal Muo’ dan ‘Fund-Raising Battle for Johor’ di Ampang, di sini.

Menurut saksi itu lagi, ‘Team Saddiq’ juga berbincang langkah terbaik untuk menguruskan hasil kutipan majlis dan berpendapat tidak wajar menggunakan akaun peribadi bagi mengumpul dana.

Katanya, mereka kemudian membuat keputusan menggunakan akaun Maybank perniagaan milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).

Ketika disoal Muhammad Asyraf sekiranya dia tahu duit dikumpul daripada majlis itu dipindahkan daripada akaun ABBE ke akaun peribadi dan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik tertuduh, saksi menjawab: “Tidak.”

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa Syed Saddiq tidak pernah memberitahu hal transaksi pemindahan wang ke akaun peribadi itu adalah kerana tindakan berkenaan salah.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada BERSATU yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan pertama itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Armada BERSATU itu juga didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini.

Syed Saddiq dituduh melakukan kesalahan itu antara 8 hingga 21 April 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB juga miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesalahan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Siti Nurul Hidayah mendakwa, dia dikasari dan diugut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020.

Katanya, tindakan pegawai terbabit menyebabkannya membuat laporan polis dan mengadakan sidang media berhubung kejadian berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Baca Lagi:
Wanita berdepan detik ‘hitam’, bertahun kahwin baru tahu suami rupanya abang kandung sendiri siap ada zuriat dah
Isu cukai Yayasan Albukhary: Muhyiddin tidak akan buat permohonan maaf kepada Guan Eng
Koyak dan berlubang sangat dalam di kepala, Kamal Adli ditidurkan
CATEGORIES