Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, telah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada usia 86 tahun hari ini.
Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan tersebut disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, sebentar tadi.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia setelah menerima rawatan di hospital selama dua minggu.
Menurut portal Malaysiakini, Gurdial memaklumkan bahawa pengebumian Allahyarham akan dilakukan pada pagi ini.
“Ya, benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan telah diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Setakat ini, tiada maklumat lanjut,” kata beliau lagi.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, bagi menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 hingga 2004.