Bekas Menteri Besar Terengganu diserang netizen, dituduh pemilik Hospital Bersalin Razif, ini respon tuan badan.
Kecoh dengan isu jenazah bayi yang dibekukan, ramai pihak terkesan dengan perkara tersebut. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengumumkan akan menjalankan siasatan mengenai kes ini.
Terbaru, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman, terkejut apabila dirinya diserang oleh netizen yang menuduh beliau sebagai pemilik Hospital Bersalin Razif (HBR), lokasi di mana kes tersebut berlaku.
Beliau menjelaskan bahawa hospital swasta yang terletak di Klang, Selangor itu bukan miliknya walaupun namanya serupa.
“Mohon semua bertenang. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di media sosial, ramai yang marah saya.
Saya bukan pemilik Hospital Bersalin Razif. Salah orang itu, saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus,” katanya.
Menurut laporan Kosmo!, beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan atau pemilikan saham dalam mana-mana hospital bersalin setakat ini.
Sebelum ini, tular kisah jenazah seorang bayi lelaki yang didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat sebuah hospital swasta kerana bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.