Bekas madu jerut leher isteri pertama hingga maut selepas kena cerai.
Seorang wanita maut di tangan bekas madunya dalam kejadian yang menggemparkan pada awal minggu lalu. Mangsa dikenali sebagai Laksmiwati Anggraini, 62 tahun, atau LA, dibunuh oleh bekas isteri siri (isteri rahsia) suaminya di kediaman mereka di Jalan Merdeka, Desa Kuta Blang, Kecamatan Banda Sakti, Lhokseumawe, wilayah Aceh pada hari Isnin.
Jurucakap polis, Iptu Yudha, berkata suspek yang dikenali sebagai WL telah ditangkap sehari selepas insiden tersebut berdasarkan bukti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Rakaman itu jelas menunjukkan WL memasuki lokasi kejadian dan bersembunyi sebelum melakukan perbuatan itu. Siasatan awal mendapati motif pembunuhan itu adalah kerana dendam terhadap mangsa setelah pernikahan rahsianya dengan bekas suaminya diketahui,” tambahnya.
“WL berang kerana mangsa didakwa memaksa bekas suaminya untuk menceraikannya,” ujarnya lagi.
Pihak berkuasa turut merampas beberapa barang bukti seperti tali plastik yang digunakan oleh pelaku untuk menjerut leher bekas madunya, serta sebuah kereta yang dipandu untuk melarikan diri.
Akibat perbuatan itu, WL didakwa membunuh dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan bersalah. Kematian LA juga menggemparkan penduduk setempat kerana mayatnya ditemui di sebuah bilik di tingkat dua kediaman tersebut, yang turut dijadikan tempat untuk merawat pesakit.