Bekas Ketua SPRM ‘Buka Mulut’ tentang Najib Razak.
Bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, memberikan kritikan pedas terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lebih berjaya melaksanakan reformasi berbanding kerajaan semasa.
Latheefa juga menyifatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal melaksanakan slogan ‘Reformasi’, malah banyak tindakan yang diambil bertentangan dengan hak asasi yang sebelum ini diperjuangkan.
Sebagai contoh, Latheefa menyebut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai bukti komitmen beliau terhadap reformasi.
“PM Najib tak melaungkan reformasi, tapi kalau kita lihat dari sudut reformasi perundangan, yang memansuhkan ISA adalah Najib. Saya pun tak boleh bayangkan kalau ISA masih wujud hingga kini.
“Saya kira kerajaan sekarang tak akan memansuhkan ISA. Mereka akan beri alasan, kita perlu justifikasi, sama seperti mereka justifikasi keperluan untuk akta hasutan,” katanya.
Latheefa, yang juga seorang peguam, menegaskan bahawa beliau bersikap objektif sebagai rakyat Malaysia dan adil dalam penilaiannya. Dalam konteks reformasi undang-undang negara hari ini, Latheefa memberi markah yang sangat rendah kepada kerajaan sekarang, jauh lebih rendah berbanding kerajaan terdahulu.