Bekas isteri dapat wang pampasan sebanyak RM973,827.50 untuk 25 tahun buat kerja rumah tanpa gaji. Seorang wanita di Sepanyol, Ivana Moral menerima bayaran bernilai €204,000 (RM973,827.50) sebagai penyelesaian bagi tuntutan perceraiannya.
Ia diputuskan hakim di mahkamah Malaga dekat selatan Sepanyol selepas mengambil kira bayaran akan diterima Ivana, berdasarkan kadar gaji minimum €1,080 (RM5,154.97) sebulan bagi kerja rumah dilakukan sepanjang 25 tahun berkahwin dengan pasangannya.
Mahkamah dimaklumkan, bekas suami Ivana yang namanya tidak didedahkan, mengusahakan perniagaan gim dengan lelaki terbabit dijangka akan mengemukakan rayuan.
Berdasarkan keputusan diumumkan kelmarin, bekas suami Ivana juga perlu membayar pencen sebanyak €500 (RM2,386.50) setiap bulan.
Lelaki terbabit turut diarah membayar €400 (RM1,909.24) dan €600 (RM2,863.86) setiap bulan kepada dua anak perempuannya yang kini berusia 14 dan 20 tahun.
Menerusi temu bual dengan akhbar dia, berkata: “Ini adalah kes penderaan (oleh bekas suami) selepas perkahwinan kami berakhir.
“Saya dan dua anak perempuan tidak mempunyai apa-apa, selepas menghabiskan masa, tenaga dan kasih sayang kepada keluarga ini.
“Saya berperanan sebagai ibu dan ayah dalam keluarga ini, selain turut membantu pekerjaan suami. Saya tidak pernah dibenarkan untuk mengakses perihal kewangan, semuanya atas nama dia,” katanya.
Ivana memfailkan perceraian pada 2020, selepas pasangan itu berkahwin pada 1995.
Menerusi hasil itu, Ivana membeli beberapa kenderaan mewah, antaranya kereta sport Porsche, Range Rover dan motosikal BMW serta ladang minyak zaitun seluas 70 hektar bernilai €4 juta (RM19.08 juta).
Katanya, bekas suaminya ‘tidak mengizinkan dia bekerja’, namun hanya membiarkan dia bekerja di gim dimilikinya.
Bercakap kepada stesen radio Cadena Ser, Ivana berkata: “Saya mendedikasikan diri secara eksklusif untuk kerja rumah, menjaga suami dan kediaman.
“Dia secara khusus memaksa saya membuat kerja rumah hingga tidak berdaya untuk melakukan perkara lain,” katanya.
Dia berhenti membiayai pelajaran anak sulungnya sejurus berusia 16 tahun dan remaja itu terpaksa bekerja untuk menyara dirinya.
Ketika pasangan itu berkahwin, bekas suami turut meminta Ivana menandatangani perjanjian pengasingan barangan, menyatakan dia akan memiliki semua kekayaannya dan akan membahagikan harta sepencarian.
Rentetan itu, Ivana awalnya hanya dianugerahkan separuh daripada rumah didiami pasangan itu.
Mengenai pendedahannya di media, Ivana berkata, ia bertujuan memberi advokasi kepada golongan wanita untuk mengemukakan tuntutan sama, biarpun sudah menandatangani perjanjian berkaitan perihal itu.
Peguam Ivana menyifatkan keputusan itu mewakili golongan wanita yang menguruskan rumah tangga sejak berkahwin, sedangkan suami masing-masing mengembangkan kerjaya profesional mereka.
“Isteri terpaksa menguruskan rumah dan anak tanpa bantuan sesiapa bagi membolehkan suami meneruskan kerjaya mereka,” katanya.