Bayi perempuan menangis ditemui atas loteng rumah, penduduk syak ‘anak kuntilanak’.
Suara tangisan bayi telah membuatkan bulu roma penduduk di sebuah perkampungan meremang kerana mereka menyangka ia adalah tangisan pontianak (kuntilanak).
Kerana rasa ingin tahu, beberapa penduduk nekad untuk menyiasat punca tangisan misteri itu di atas sebuah loteng rumah di Jalan Pacar Keling Gang 6, Pacar Keling, Tambaksari, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia pada malam Sabtu lalu.
Rupa-rupanya, mereka menemui seorang bayi perempuan yang tidak berbaju dan masih bertali pusat.
“Bayi seberat kira-kira 3.3 kilogram itu dipercayai baru dilahirkan selama empat jam. Keadaannya sihat dan normal,” kata Ketua RT 06, Dadang Harjogunawan.
Menurutnya, bayi itu diletakkan di atas bumbung asbestos yang memisahkan rumah seorang penduduk, SR, 57, dengan rumah seorang lagi penduduk di RT 05.
“Tidak ada kesan luka pada bayi itu, cuma terdapat bintik-bintik kecil akibat gigitan semut,” tambahnya lagi.
Lokasi penemuan bayi itu dilaporkan agak tinggi, hampir lima meter dari tanah.
“Bayi itu hanya beralaskan kain. Kami tidak dapat memastikan sama ada ia benar-benar anak manusia atau mungkin anak kuntilanak,” jelasnya, sambil menambah bahawa mustahil bagi seseorang untuk memanjat dan meletakkan bayi itu pada ketinggian sebegitu.