Bayi perempuan lahir dari rahim ibunya yang telah 2 hari meninggal dunia.
Kisah ini sudah lama berlaku, namun ia sesuatu yang pernah mengejutkan dunia perubatan moden. Pada awal tahun 2009, seorang bayi perempuan telah lahir dari rahim ibunya yang telah dua hari meninggal dunia. Bayi tersebut cukup sifatnya walaupun usia kandungan pada ketika itu baru mencecah 25 minggu.
Ayah kepada bayi ajaib ini, Mahmoud Soliman, tidak pernah membayangkan situasi tersebut. Perasaan sedih yang bercampur aduk dengan kegembiraan adalah sesuatu yang sangat luar biasa untuk lelaki kelahiran Dubai, Emiriah Arab Bersatu ini. Sedih kerana kehilangan isteri tersayang, tetapi isterinya jugalah yang telah ‘melahirkan’ seorang zuriat setelah dua hari menghembuskan nafas terakhir.
Pada peringkat awal kehamilan, isteri Mahmoud, Jayne Soliman dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Namun, ketika usia kandungannya mencecah 25 minggu, Jayne secara tiba-tiba berasa sakit pada bahagian kepalanya. Tidak lama selepas itu, dia rebah dan pengsan di bilik tidurnya.
Wanita itu kemudian dikejarkan ke hospital John Rodcliffe, Oxfort, England untuk diberikan rawatan lanjut. Setelah dua jam menerima rawatan, pasukan perubatan mengesahkan bahawa nyawa Jayne tidak dapat diselamatkan kerana dia telah mengalami pendarahan otak. Ia berlaku disebabkan oleh tumbesaran tumor yang telah menyekat salur darah utamanya.
Pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr. Deborah Harrington itu telah mencuba sedaya untuk memastikan jantung Jayne tetap berdenyut. Mereka telah menggunakan pelbagai ubatan dan peralatan canggih supaya jantung mayat itu terus ‘hidup’. Walaupun usaha itu tidak dapat mengembalikan nyawa Jayne, tetapi ia dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si kecil yang masih lagi berada di dalam rahim ibunya itu.
Dr. Deborah juga telah menyuntik dua dos besar steroid untuk mengembangkan paru-paru bayi berkenaan. Akhirnya, setelah 48 jam bekerja keras, pasukan perubatan itu berjaya membawa keluar seorang bayi perempuan seberat 0.95 kilogram melalui pembedahan.
Si kecil yang baru sahaja dilahirkan itu kemudian diletakkan di bahu ibunya bagi memberikan ruang seketika untuk mereka bersama. Kemudian, bayi berkenaan dikejarkan ke unit rawatan rapi untuk menerima rawatan susulan. Manakala Mahmoud pula menghabiskan sisa-sisa waktu bersama mayat isterinya itu sebelum peralatan yang membantu mengaktifkan degupan jantung Jayne dimatikan sepenuhnya.
Walaupun dilahirkan tidak cukup bulan, tetapi fizikal bayi tersebut cukup sempurna. Mahmoud menamakan bayi berkenaan sebagai Aya Jayne yang membawa maksud keajaiban. Itulah nama yang diimpikan oleh ibunya ketika beliau masih hidup. Mahmoud juga mengumpamakan Aya seperti pejuang kecil laksana ibunya, Jayne.

Pada tahun 1989, Jayne merupakan seorang atlet luncur ais profesional yang mewakili negara England dan menduduki ranking ketujuh dunia. Sebelum menceburi bidang luncur ais, dia juga telah menyertai beberapa sukan ekstrem di peringkat internasional. Setelah bersara daripada menjadi atlet profesional, Jayne kemudian berhijrah ke Dubai untuk memberikan tumpuan sepenuh masa sebagai jurulatih sukan luncur ais.
Di sinilah Jayne dan Mahmoud bertemu, seterusnya mendirikan rumah tangga. Pada tahun 2007, pasangan suami isteri ini kemudian berhijrah ke kampung halaman Jayne di Bracknell, England. Di sini, Jayne bekerja sebagai ketua jurulatih di Kelab Luncur Ais Bracknell.
Sehinggalah pada Januari 2009, Jayne telah disahkan mengalami pendarahan otak. Dia menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun dan meninggalkan suami, Mahmoud Soliman (ketika itu berusia 29 tahun) dan bayi di dalam kandungan yang berusia 25 minggu.
Jenazah Jayne kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak berhampiran sebuah masjid di Reading, Bracknell. Lebih daripada 300 orang yang terdiri daripada sahabat handai dan saudara maranya hadir untuk memberikan penghormatan terakhir pada majlis pengebumian itu.