Lebih 100 pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda berhimpun untuk menyerahkan memorandum supaya sistem baru yang diperkenalkan syarikat itu dikaji semula.
Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah bayaran upah yang tidak konsisten dan setimpal.
Selain itu, perkara yang dibangkitkan adalah pembesaran kawasan penghantaran.
“Dulu kawasan (penghantaran) meliputi Kelana Jaya saja, sekarang dibesarkan sehingga Subang. Akan ada pertindihan dan sebagainya.
“Seterusnya penggantungan kerja. Bila kawasan menjadi terlalu besar, penghantar terpaksa menolak (pesanan) kerana upah tidak setimpal.
“Selepas beberapa kali menolak penghantaran, mereka digantung kerja. Perkara ini jika dimaklumkan kepada penghantar sudah tentu mereka akan faham,” katanya dalam sidang media selepas perbincangan dengan Foodpanda di sini.
Katanya, isu lain yang dibangkitkan adalah pesanan ditanda sebagai ‘order mark as delivered’ tetapi pelanggan membatalkan pesanan.
“Tanpa siasatan terperinci akhirnya yang akan menjadi mangsa adalah rider (ditolak gaji),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Foodpanda memberikan jaminan setiap penghantar akan menerima sekurang-kurangnya RM10 sehingga RM12 setiap jam sementara syarikat itu mengkaji semula kelemahan sistem mereka.
“Mereka (Foodpanda) juga memerlukan maklum balas daripada penghantar untuk mencari penyelesaian dan kaedah yang terbaik bagi keuntungan semua pihak Foodpanda, penghantar, vendor dan juga pelanggan,” katanya.
Tuntutan lain yang diminta oleh penghantar Foodpanda adalah upah mengikut lingkaran kawasan penghantaran kurang lima kilometer (km) ‘batch 1’ mahukan upah RM7; ‘batch 2’ RM6 dan ‘batch 3’ RM5.
Jika jarak melebihi 5km ‘batch 1’ akan menerima tambahan RM1 untuk setiap km, ‘batch 2’ 80 sen dan ‘batch 3’ 50 sen.
Sharkar turut berkata, maklum balas tuntutan ini akan diberi dalam tempoh sebulan.
“Inilah sebabnya kita cadangkan suruhanjaya gig ekonomi mesti ditubuhkan supaya ada satu badan kawalselia untuk memastikan harga, kebajikan, insurans dan ada skim persaraan.
“Kebanyakan pekerja tidak mempunyai majikan, maka kebajikan mereka perlu dipertimbangan. Mereka ejen kepada perubahan pembangunan negara,” katanya yang mewakili penghantar Foodpanda menyerahkan memorandum kepada Pengarah Operasi Foodpanda, Shubham Saran.