Baru tahu kenapa kenapa minyak masak paket susah nak dapat di kedai runcit.
Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar penyelewengan minyak masak paket yang dianggarkan bernilai hampir RM15 juta.
Kejayaan rampasan minyak masak bersubsidi seberat 6 tan itu adalah hasil risikan terhadap sindiket berskala besar yang berpangkalan di Taman Reko, Kajang, kelmarin.
Sumber KPDN menyatakan, dalam operasi bersepadu bersama KPDN Selangor, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa berperanan memindahkan minyak masak subsidi dalam paket.
“Operasi ini melibatkan anggota Seksyen Perisikan KPDN Putrajaya dan KPDN Selangor terhadap stor yang disyaki tidak berlesen.
“Pihak KPDN terpaksa memotong kunci stor selepas individu di dalamnya enggan memberi kerjasama.
“Hasilnya, seorang lelaki tempatan di dalam stor itu ditahan. Dia mendakwa berperanan sebagai pemandu lori yang memindahkan minyak masak subsidi dalam paket,” katanya menurut laporan Harian Metro. Portal itu juga mendedahkan kegiatan berterusan penyelewengan minyak masak 1 kilogram ke negara jiran.
Dalam serbuan itu, KPDN menemui 300 kotak berisi 5,100 paket minyak masak subsidi seberat 5.1 tan.
Turut ditemui adalah tangki besar berisi 850 liter minyak masak di dalam stor yang sama.
“Berdasarkan penemuan itu, KPDN tidak menolak kemungkinan semua minyak masak bersubsidi ini bernilai hampir RM15 juta mengikut harga pasaran,” katanya.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
“Siasatan lanjut juga akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti ini, termasuk sumber minyak masak paket diperoleh dan pengedaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.