Baru sebulan dilahirkan, Nur Khayra Sofea sudah jadi bayi popular di laman sosial
Ia selepas video dimuat naik ibunya, Nur Liyana Shafiqa Norhisan, 24, di TikTok , tular hingga meraih 3.1 juta tontonan dalam tempoh lima hari.
Video itu mendapat perhatian warganet yang teruja melihat gelagat Nur Khayra Sofea mengangkat kaki ke atas ketika berbaring.
Berkongsi kisah itu, Nur Liyana Shafiqa berkata, gambar berkenaan diambil ketika Nur Khayra Sofea ditempatkan di dalam wad kanak-kanak.
“Nur Khayra Sofea adalah anak sulung dan dilahirkan pra matang pada 21 Jun lalu.
“Ikutkan, anak saya patut dilahirkan pada 27 Julai namun lahir lebih awal dan ditahan dulu di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak.
“Sebagai kenangan, saya ambil gambar dan videonya (anak) kemudian muat naik di laman sosial namun ramai menyangka ia dirakam selepas bayi saya dilahirkan.
“Hakikatnya, gambar itu diambil selepas anak mandi dan berada di wad lebih 10 hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nur Liyana Shafiqa, tujuannya berkongsi di laman sosial adalah untuk disimpan sebagai kenangan saja.
“Selepas rakam gambar dan ambil video, saya muat naik di TikTok.
“Tak sangka pula boleh tular sampai suami (Khairul Hafizzy Azman, 27) pun terkejut.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ramai mendoakan bayi saya dan diharap doa yang baik berbalik kepada mereka juga (yang mendoakan),” katanya.