‘Baru kenal sudah berani ikut ke bilik’ – Pelajar 14 tahun dicekup berkhalwat dalam rumah sewa
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mengaku baru berkenalan dengan pasangannya berusia sekitar 20-an menerusi aplikasi WhatsApp sebelum berani mengikut lelaki itu tinggal di sebuah rumah di Taman Kenari, di sini.
Bagaimanapun, mereka akhirnya dicekup dalam sebuah bilik di rumah itu oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam serbuan yang dilakukan jam 11.30 pagi hari ini.
Selain mereka, turut ditahan dua lagi pasangan berusia antara 19 hingga 20-an dalam bilik berasingan dalam rumah itu manakala seorang wanita pula ditemui berada di ruang tamu.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit dan bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Beliau berkata, pihaknya yang turut dibantu jemaah surau taman perumahan itu kemudian membuat pemeriksaan di rumah berkenaan dan mendapati pintu tertutup.
“Sebaik mengetuk pintu dan memberi salam, rumah itu dibuka salah seorang penghuni rumah berkenaan dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga lelaki dan empat wanita iaitu tiga pasangan ditemui dalam bilik berasingan manakala seorang wanita berusia 20-an pula ditemui berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar berkata, lebih memeranjatkan apabila remaja perempuan yang masih bersekolah dan berusia 14 tahun dalam sebuah bilik bersama pasangannya.
Beliau berkata, seorang wanita yang ditahan itu baru selesai pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang lagi bekerja di sebuah kilang manakala seorang lagi tidak bekerja.
“Seorang lelaki yang ditahan itu pula bekerja di sebuah kilang manakala dua lelaki lagi bekerja sebagai pembantu restoran makan di daerah ini.
“Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat,” katanya.
Anwar Sharifudin berkata, wanita yang ditemui di ruang tamu rumah itu turut ditahan untuk diambil keterangan selepas mendakwa teman lelakinya ketika itu keluar bekerja.
Beliau berkata, ketika disoal siasat, ada yang mengaku berkenalan di tempat kerja,kenal melalui rakan serta WhatsApp
Katanya, semua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.