Barang kemas bernilai RM58 juta lesap, wanita tawar ganjaran RM2.8 juta kepada pemberi maklumat.
Seorang selebriti media sosial bertaraf jutawan menjadi mangsa rompakan berprofil tinggi melibatkan pelbagai jenis barang kemas bernilai £10.4 juta (RM58 juta), lapor akhbar The Sun UK semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Shafira Huang, merupakan pengumpul hasil seni dan duta budaya Galeri Halcyon di Bond Street, London.
Shafira dan keluarganya menawarkan ganjaran lumayan kepada individu yang mempunyai maklumat mengenai rompakan itu atau yang memulangkan barang kemas yang dicuri.
Suspek dipercayai melakukan rompakan secara bersendirian dengan memecah masuk rumah keluarga Shafira di Primrose Hill, London Utara, antara pukul 5 petang hingga 5.30 petang (waktu tempatan) pada 7 Disember lalu.
Pencuri turut melarikan beg tangan Hermes kulit buaya bernilai £150,000 (RM840,000) dan wang tunai £15,000 (RM84,000).
Detektif Konstabel Paulo Roberts berkata: “Suspek mencuri barang kemas bernilai £10.4 juta, kebanyakannya mempunyai nilai sentimental dan bentuk yang unik. Justeru, ia mudah dikenali.”
Shafira dan keluarganya menawarkan ganjaran £500,000 (RM2.8 juta) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tepat mengenai rompakan tersebut.
Mereka juga menawarkan ganjaran 10 peratus daripada nilai barangan curi yang ditemui semula, bersamaan £1 juta (RM5.6 juta).