Baru-baru ini, kisah seorang warga emas berusia 70 tahun yang diterbitkan oleh sebuah portal media popular meraih perhatian ramai di media sosial.
Menerusi laporan itu, warga emas bernama Zakaria Abdul Wahab itu mendedahkan dia masih bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar Mont Kiara, Sri Hartamas dan Bangsar.
Terpaksa kerja, tanggung dua anak menganggur.
Ia menimbulkan pelbagai pertikaian selepas Zakaria turut mendedahkan dia terpaksa bekerja pada usia begitu kerana perlu menanggung perbelanjaan harian memandangkan dua anak lelakinya tinggal bersama dan tidak bekerja.
Saya buat keputusan ini (jadi penghantar makanan) kerana kami memerlukan wang untuk perbelanjaan harian. Kedua-dua anak lelaki tinggal bersama dan mereka menganggur. Jadi, saya perlu menanggung ini dan bekerja.
Kerja sampai 12 jam, anak buat apa?
Lebih membuatkan netizen geram apabila mendapat tahu Zakaria yang tinggal di Cheras itu bekerja sehingga 12 jam sehari dengan pendapatan hampir RM100, jika cuaca tidak hujan.
Cerita itu yang dikatakan boleh dijadikan ‘inspirasi’ sebaliknya menerima kritikan hebat masyarakat di media sosial kerana seorang bapa pada usia sebegitu dan terpaksa bekerja tidak patut dibanggakan.
Malah ramai turut persoal apa yang dilakukan dua orang anak lelakinya dan sama ada masing-masing mempunyai kekangan yang membuatkan mereka tidak dapat bekerja.
Tumpang tanya, anak pakcik dua dua ni disabled ke sebab why on earth pakcik diusia 70 tahun masih kena cari duit nak bagi diorang ni makan eh?