Mahkamah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) digemparkan dengan rakaman video yang memaparkan seorang bapa memaksa anak lelakinya yang berusia enam tahun untuk berlari laju di atas treadmill kerana dianggap ‘terlalu gemuk’.
Lelaki tersebut juga dituduh melakukan penderaan terhadap anaknya, Corey Micciolo, sehingga menyebabkan kematian malang itu.
Kecederaan yang dialami oleh mangsa termasuklah hentakan objek tumpul di bahagian jantung yang dipercayai dilakukan oleh Christopher Gregor, 31 tahun, beberapa jam sebelum kematian anak itu.
Semasa perbicaraan pada hari pertama yang bermula pada Selasa di Mahkamah Tinggi Ocean City, mahkamah diperlihatkan rakaman pengawasan dari pusat kecergasan Atlantic Heights, yang terletak di Barnegat.
Ibu kepada mangsa, Bre Micciolo, tidak dapat menahan kesedihan dan menangis apabila melihat anaknya disiksa oleh bekas suaminya menerusi klip video tersebut di mahkamah. Rakaman tersebut diperolehi oleh Court TV pada 20 Mac 2021.
Dalam rakaman tersebut, kanak-kanak terpaksa berlari dengan laju di atas mesin larian itu, dan lelaki yang terlibat dilihat menaikkan kecuraman alatan tersebut secara mendadak.
Corey kemudiannya gagal mengekalkan kelajuan yang ditetapkan sehingga menyebabkan dia terjatuh dari treadmill.
Tidak puas hati dengan kejadian tersebut, Christopher mengangkat kembali anaknya yang kelihatan letih dan memaksa dia untuk terus berlari.
Christopher juga dilaporkan menggigit anaknya sehingga menyebabkan kecederaan.
Bre, yang berkongsi penjagaan anaknya dengan Christopher, melaporkan kecederaan yang dialami oleh anaknya kepada Bahagian Perlindungan Kanak-kanak New Jersey hanya beberapa hari sebelum kematian Corey.
Wanita itu meminta bekas suaminya membawa anak lelakinya ke doktor pada 1 April 2021.
Semasa dalam temujanji itu, Corey memberitahu pekerja kebajikan bahawa dia terpaksa berlari kerana Christopher memberitahunya bahawa dia ‘terlalu gemuk’.
Keesokan harinya, Corey meninggal dunia.
Christopher membawa anaknya ke hospital apabila dia tidak dapat bercakap dengan jelas selepas dikatakan terjatuh di rumah pada pagi 2 April 2021, menurut Court TV.
Corey juga mengalami loya dan sesak nafas. Dia mengalami sawan semasa imbasan CT dan kemudiannya meninggal dunia.
NEW: Mother breaks down in court as she watches her son’s father abuse her child by making him run on the treadmill because he was “too fat.”
New Jersey father Christopher Gregor is accused of killing his 6-year-old son Corey Micciolo.
New footage shows the boy repeatedly face… pic.twitter.com/aVKknkOGd5
— Collin Rugg (@CollinRugg) May 1, 2024
Menurut bedah siasat awal, kematian Micciolo adalah disebabkan oleh kecederaan serangan objek tumpul pada jantung dan hati, bersama dengan radang akut dan sepsis.
Christopher ditangkap pada 7 Julai 2021 atas tuduhan pengabaian kanak-kanak selepas pasukan penyiasat menemui rakaman di pusat kecergasan tersebut.
Pakar patologi forensik, Dr. Thomas Andre, menetapkan kematian budak lelaki itu sebagai pembunuhan pada September 2021 berpunca dari penderaan kronik.
Christopher dikenakan pertuduhan pada 9 Mac 2022, atas kematian anaknya.
Dia ditahan di Penjara Ocean City tanpa ikatan jaminan.