Bapa Miss Switzerland dedah menantu penggal kepala anak letak dalam tong sampah di bilik dobi.
Selepas misteri kehilangan wanita itu terjawab apabila dia dibunuh oleh suaminya yang dikenali sebagai Thomas, dengan sebahagian anggota badan hancur akibat dikisar, kini bapa mangsa mendedahkan bagaimana dia menemui kepala anak kesayangannya itu.
Bapa Joksimovic memberitahu bahawa dia menemui kepala anaknya yang telah dipenggal di dalam beg sampah di bilik dobi kediaman pasangan tersebut, sementara dua cucunya sedang bermain di bilik sebelah.
Penemuan itu berlaku pada 13 Februari lalu, selepas dia dan isterinya selesai makan malam yang disediakan oleh menantunya, lapor MailOnline.
Dia turut mendedahkan bahawa dia mula mencari anaknya di rumah tersebut selepas Thomas cuba mengelak apabila ditanya mengenai keberadaan Joksimovic.
Kehilangan Joksimovic mula disedari apabila guru di sekolah menghubungi bapa wanita yang juga seorang pempengaruh, kerana wanita itu gagal menjemput anak-anaknya pulang.
Namun, sewaktu ibu bapanya tiba di rumah dan bertanya, Thomas mengelak dan memberitahu bahawa isterinya telah keluar beberapa jam sebelumnya.
Bapa mertuanya mula merasa curiga dan tidak sedap hati, lalu dia memutuskan untuk menggeledah rumah itu. Dia kemudian ternampak sebuah beg plastik hitam besar di tong sampah dalam bilik dobi dan terlihat rambut perang yang terkeluar dari beg tersebut.
Lelaki warga emas itu segera menghubungi pihak berkuasa, manakala Thomas dilihat cuba bersikap tenang. Meskipun sudah terbukti bersalah dan melakukan jenayah di luar batas kewarasan, Thomas masih merayu agar hukuman diringankan dengan mendakwa dia membunuh isterinya untuk mempertahankan diri.