Bapa Dea Maisarah dedah cerita sebenar kejadian yang berlaku hospital.
Bapa kepada Dea Maisarah mendakwa kecuaian pihak hospital menjadi punca kematian anaknya pada Ahad lalu.
Dalam rakaman video di TikTok, Bada Hussein menjelaskan kronologi mengenai apa yang berlaku ke atas anaknya yang berusia 10 tahun pada hari kejadian.
Menurut rakaman itu, Bada pada mulanya menerima panggilan telefon daripada isterinya mengenai keadaan anaknya yang kurang sihat.
“Sebenarnya begini, pada Ahad lalu, lebih kurang jam 9 malam, isteri saya telefon dan pada ketika itu saya dekat pasar raya.
“Balik cepat, adik Maisarah ni dia macam tak berapa elok sikitlah, dia ada masalah nafas sikit, macam semput sikit, abang balik ya,” kata Bada yang merujuk kepada perbualan telefon bersama isterinya.
Katanya, ketika sampai di rumah tanpa berlengah beliau terus memandikan anaknya untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Sampai di HTAR, saya ambil nombor dan bayar lalu menunggu lebih kurang 40 hingga 45 minit .
@daddy_syifaa PART 1 : Perkongsian En. Bada mengenai kejadian pada hari Ahad 9 Julai 2023 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Disclaimer: perkongsian peribadi En. Bada selaku bapa arwah adik Dea Maisarah ini berdasarkan kejadian yang berlaku di hari kejadian dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak melainkan ia luahan hati seorang bapa. KLIK LINK PROFILE SAYA UNTUK BANTU EN. BADA MENDAPATKAN KEADILAN DI ATAS KEMATIAN ANAKNYA. #Justice4DeaMaisarah #YYCC #JusticePeaceHumanity ♬ Doaku_untukmu_sayang_ – Nana
“Selepas itu, dia (pihak hospital) suruh saya pergi ke zon kanak-kanak di sebelah kecemasan. Sampai di sana (zon kanak-kanak), saya menunggu lagi dalam 20 minit macam tu, lama juga.
“Apabila tiba giliran anak saya, pihak hospital mula periksa degupan jantung, mereka tengok tahap oksigen dalam darah dia. Di situ mereka mula kelam kabut sebab oksigen dalam darah dia memang tak cukup. Mula-mula saya tengok tu tahap oksigen dia… jadi 90, 80, 70 macam tu,” dakwanya menurut rakaman video itu.
Mengulas lanjut, Bada mendakwa apabila melihat tahap kesihatan arwah anaknya yang didakwa semakin merosot, pihak hospital dikatakan mula kelam kabut dan terus meletakkan anaknya di atas katil untuk rawatan susulan.
@daddy_syifaa PART 2: Luahan En. Bada, bapa Dea Maisarah yang meninggal dunia akibat dari kecuaian doktor di unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Malam tadi Pengarah HTAR mengesahkan En. Bada hadir bersama anaknya pada 9 Julai 2023 malah mendakwa pesakit dalam keadaan lemah. Dikatakan pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya tapi tidak dapat diselamatkan diberikan dan kematian masih disiasat. Pengarah HTAR tidak menjawab persoalan kenapa kakitangan hospital buat laporan mendakwa pesakit dibawa dalam keadaan BID? Klik link profile saya untuk kita membantu En. Bada memfailkan tuntutan mahkamah di atas kecuaian pihak hospital. #Justice4DeaMaisarah #JusticePeaceHumanity #YYCC ♬ Doaku_untukmu_sayang_ – Nana
“Masa itu mereka ada juga berikan alat bantuan pernafasan, selepas itu mereka cuba ambil darah. Anak saya ni fobia sikit dengan jarum akibat selalu kena cucuk waktu kecil sebab penyakit kuning.
“Akibatnya dia meronta-ronta dan diikat. Sudahlah diikat, dia diserkap lagi, dipegang lagi semata-mata untuk mendapatkan darah. Anak saya meronta-ronta terus dan meminta tolong daripada saya, ayah tolong lepaskan saya.
“Sehingga seorang doktor tu menyampuk dia kata, kalau kamu bekerjasama, kami tak akan buat macam tu ujarnya sambil mempersoalkan patut ke seorang doktor boleh cakap macam tu? Dalam keadaan anak saya diikat,” dakwanya lagi.
Selepas beberapa kali dipaksa oleh pihak hospital untuk mengambil darah, Bada mendakwa degupan jantung anaknya terhenti.
Tidak lama selepas itu, Bada kemudian diarahkan keluar daripada bilik rawatan, namun berkeras untuk masuk semula.
“Saya tengok monitor, anak saya memang dah tak ada (meninggal dunia). Tapi mereka berpura-pura buat itu, buat ini, konon-kononnya mereka bekerja. Sebenarnya anak saya dah lama meninggal.
“Sewaktu saya masih ada di dalam, masa diserkap tu, konon-konon ambil darah apa semua, di situ anak saya meninggal,” dakwanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kematian Dea Maisarah kini disiasat pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi, dilaporkan berkata punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik hospital terbabit.
Jenazah Dea Maisarah dikebumikan pada 11 Julai lalu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh, Klang.