Bapa bingung rider hantar makanan depan rumah, tak sangka ‘Kerja’ anak 6 tahun pesan online.
Sudah tentu, semakin membesar, semakin banyak perkara yang ingin diterokai oleh anak anda. Kadang-kadang, ibu bapa juga pasti penat melayan kerenah mereka, betul tak?
Bukan itu sahaja, dengan teknologi canggih dan gajet zaman sekarang, ada juga anak-anak yang sudah mula pandai menggunakannya.
Sama seperti video yang tular di TikTok ini, apabila sepasang suami isteri terkejut selepas mengetahui anak mereka yang berusia enam tahun telah memesan makanan secara dalam talian.
Tak sangka ‘kerja’ anak 6 tahun yang pesan makanan senyap-senyap
Menerusi perkongsian di TikTok @toyosan70, kelihatan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan reaksi si bapa yang kebingungan ketika seorang rider menyerahkan bungkusan makanan tersebut di pagar rumah.
Rider tersebut memberitahu bahawa makanan itu dipesan atas nama Seri Rahayu, iaitu isteri kepada lelaki terbabit. Namun, lelaki tersebut segera bertanya kepada isterinya mengenai pesanan itu, tetapi wanita tersebut memberitahu dia tidak memesannya.
“Banyaknya! Siapa pesan ini? Isteri saya kata dia tak pesan.
“Betul ke ini alamatnya bang? Cuba abang semak semula,” kata lelaki itu.
Dek kerana keliru, lelaki tersebut bahkan menyuruh rider itu untuk bertanya di rumah sebelah bagi memastikan pesanan tersebut.
Namun, sebaik sahaja tiba di rumah sebelah, rider itu menelefon nombor pelanggan dan lelaki itu mendapati bahawa nombor tersebut memang milik isterinya.
Setelah meneliti, barulah mereka mengetahui bahawa rupanya ia adalah ‘kerja’ anak mereka yang berusia enam tahun yang telah memesan makanan tersebut.
Difahamkan, anak mereka membuat pesanan lapan set ayam goreng menggunakan akaun dalam talian ibunya.
@toyosan70 Bdk 6 tahun senyap² order foodpanda…😅🤣 #KongsiRezeki #Alhamdulillah ♬ original sound – Acap70