Bangunan pencakar langit berbentuk huruf ‘U’ terbalik bakal dibina.
Sebuah bangunan pencakar langit yang unik, dengan reka bentuk berbentuk huruf ‘U’ terbalik, akan dibina di New York, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Dinamakan ‘The Big Bend’, pencakar langit sepanjang 1,219.2 meter dan setinggi kira-kira 610 meter ini bertujuan untuk memegang gelaran sebagai bangunan paling panjang di dunia.
Menurut syarikat seni bina Oiio di New York, The Big Bend direka dalam bentuk melengkung untuk memaksimumkan penggunaan ruang yang ada tanpa perlu menambah kos yang tinggi.
“Reka bentuk ini juga membolehkan bangunan ini bertahan walaupun dilanda angin kencang,” kata mereka.
Panjang The Big Bend dijangka akan mengatasi Burj Khalifa (bangunan tertinggi di dunia) yang terletak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan ketinggian 828 meter.
Walaupun reka bentuknya agak luar biasa, Oiio merancang untuk mencipta lif bergerak yang akan berjalan sepanjang laluan melengkung untuk membolehkan orang ramai bergerak dengan lancar di dalam bangunan.
“The Big Bend” mungkin menjadi penyelesaian seni bina terhadap peraturan had ketinggian bangunan pencakar langit di Manhattan, tambah mereka lagi.