Banglo tiga tingkat bernilai RM40 juta masih gah berdiri selepas kebakaran besar di LA.
Pemilik sebuah rumah agam bernilai hampir AS$9 juta (RM40 juta) di Malibu terhindar daripada kemusnahan dalam kebakaran besar di Los Angeles, lapor akhbar New York Post semalam.
David Steiner, 64, berkata dia terkejut melihat rumahnya masih berdiri kukuh setelah api memusnahkan seluruh kediaman di kejiranan tersebut.
“Ini keajaiban. Keajaiban tidak pernah hilang,” katanya.
Steiner berkata, dia menyangka kediaman tiga tingkat yang kosong ketika kebakaran berlaku itu musnah apabila seorang kontraktor tempatan menghantar rakaman video yang menunjukkan api dan asap tebal menyelubungi banglonya serta rumah jiran pada hari Selasa lalu.
Bekas ketua sebuah syarikat pengurusan sisa di Houston, Texas itu berkata dia percaya pembinaan rumah yang sangat kukuh telah menyelamatkan kediamannya daripada kemusnahan akibat kebakaran hutan di Los Angeles.
Rumah itu dibina untuk bertahan dalam bencana gempa bumi.
“Ia menggunakan stuko (plaster berkualiti tinggi), manakala bumbungnya kalis api,” kata Steiner.
Menurutnya, rumah itu juga dibina menggunakan cerucuk sedalam 15.24 meter ke dalam batuan dasar untuk memastikan kestabilan apabila ombak kuat menghempas tambak laut.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kebakaran besar di Los Angeles yang disifatkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, bagaikan zon perang.