Banglo mewah bernilai RM26 juta milik Yoo Ah dibeli oleh budak berusia 7 tahun.
Ketika sedang berdepan perbicaraan kes dadah, pelakon Yoo Ah In dilaporkan telah membuat keputusan untuk menjual kediamannya.
Rumah yang terletak di Itaewon, Korea Selatan itu dibeli atas nama seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan harga 6.3 bilion Won, bersamaan kira-kira RM26.46 juta, secara tunai.
Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Park, lahir pada Julai 2017, dan pemindahan hak milik telah dilakukan pada 19 November lalu. Pemilik baharu rumah itu dipercayai merupakan anak kepada pasangan Ketua Pegawai Eksekutif jenama fesyen terkenal, berdasarkan alamat yang didaftarkan.
Kediaman tersebut pernah dipaparkan dalam program hiburan MBC I Live Alone sebelum dijual pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.
Yoo Ah In kini menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan dadah, termasuk penggunaan propofol sebanyak 181 kali.
Dia juga didakwa mendapatkan lebih 1,100 biji pil tidur secara haram serta menghisap ganja sebanyak tiga kali ketika berada di Amerika Syarikat.
Dalam perbicaraan pertama, Yoo Ah In didapati bersalah atas tuduhan penggunaan ganja dan penyalahgunaan propofol.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun, denda sebanyak 2 juta Won (RM6,081.28), menjalani pemulihan dadah selama 80 jam, serta rampasan wang sebanyak 1.54 juta Won (RM4,580.28).