Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur, Isteri kejut arwah tidak beri respon, badan sudah sejuk

Photo of author

By Syima Iza

Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur, Isteri kejut arwah tidak beri respon, badan sudah sejuk.

Aktor terkenal, Badrul Muhayat, 55, meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang, pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham Badrul disahkan oleh isterinya, Norhayati Zulkapli kepada BH Online.

Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur, Isteri kejut arwah tidak beri respon, badan sudah sejuk

“Ya, arwah Badrul sudah tiada. Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis.

“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru,” katanya ringkas.

Pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu disedari Norhayati kira-kira jam 9 pagi selepas cuba mengejutkan arwah untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai.

Sementara itu, pelakon Anne Abdullah yang mendapat berita pemergian arwah Badrul melalui teman artis, Aida Aris yang berada di tempat kejadian.

“Saya difahamkan isteri arwah mengejutnya untuk bersiap-siap ke tapak karnival kerana berniaga di sana.

“Tapi, arwah tidak memberikan respon dan badannya juga didapati sejuk. Jadi, mereka memanggil ambulans dan arwah disahkan sudah meninggal dunia.

“Sekarang, isterinya sedang berada di balai polis untuk membuat laporan dan belum dipastikan lagi sama ada akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat kerana mereka masih menantikan insurans,” katanya.

Menurut Anne, keluarga arwah sudah pun dimaklumkan mengenai pemergiannya dan meminta agar jenazah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk dikebumikan.

Allahyarham Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Ketika bertemu dengan arwah pada majlis tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, arwah menyatakan hasrat tetap mengadakan majlis resepsi selepas urusan kerjaya selesai, namun hasratnya tidak kesampaian.

Allahyarham Badrul meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Beliau antara hero pujaan ramai yang memiliki pakej lengkap, rupa paras, ketinggian dan bakat.

Dalam sekelip mata, bintang yang diperkenalkan menerusi filem Riang Tirana pada 1990 meraih perhatian peminat, selain menjadi buruan produser.

Deretan filem hebat seperti Harry Boy pada 1991, Azizah The Legend (1993), Kad Cinta (1995), Pesona Cinta (1995) dan Anaknya Sazali (2000) meletakkan arwah Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani antara bintang yang bersinar pada era itu.

Namun, hidup tidak selalunya indah, perjalanan hidup arwah juga dilihat penuh ranjau dan duri. Kontroversi demi kontroversi menghambat dirinya hingga hampir meletakkan titik noktah pada kerjaya lakonan yang masih memuncak.

Selama enam tahun naib juara Hero Remaja 1990/1991 itu hilang daripada radar dunia hiburan, namun kembali aktif pada 2017.

Baca Lagi:
Selepas 4 hari arwah meninggal dunia, keluarga jumpa getah rambut, cotton bud dibungkus bentuk ‘pocong’….rupanya kena sihir
“Nasi campur paling mahal, lagi mahal dari makan di hotel” – Wanita terkejut nasi campur cecah RM33 sepinggan
Ramai pening nak beli Alphard atau Vellfire, ini perbezaan yang perlu anda tahu