“Badan saya mengigil, ingatkan lembu rupanya harimau belang berekor panjang” – Pelajar ILP.
“Badan saya menggigil selepas menyedari haiwan yang melintas di depan mata itu bukannya lembu, sebaliknya seekor harimau belang berekor panjang,” kata penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang, Muhammad Hafizzuddin Asri, 21,
Beliau yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kampung Sahom, di sini, berdepan detik mencemaskan itu ketika motosikal ditunggangnya tiba di Jalan Sahom-Chenderiang, pada kira-kira jam 9 malam.
“Kejadian berlaku dalam hujan renyai ketika saya menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke kampung dari Kepala Batas, Pulau Pinang sempena cuti hujung minggu ini.
“Ketika itu, saya terlihat haiwan disangka lembu keluar dari kawasan semak dan melintas pada jarak kira-kira dua meter di hadapan saya.
“Namun, saya akhirnya sedar ia adalah seekor harimau selepas melihat badannya berbelang dan berekor panjang yang melintas menyeberang jalan lalu memasuki hutan di tepi jalan itu.
“Ketika itu, badan saya menggigil kerana bimbang ia muncul semula. Saya terus memecut motosikal dan singgah di rumah rakan tidak jauh dari situ untuk memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga penuntut Diploma Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara itu berkata, ketua kampungnya sudah melaporkan penemuan itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak untuk tindakan lanjut.
“Saya dan beberapa penduduk kampung kemudian pergi ke hutan dan menemui enam kesan tapak kaki dipercayai harimau dan menutupnya dengan zink sementara menunggu pihak PERHILITAN tiba,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi berkata, penduduk sekitar dinasihat tidak keluar ke kebun pada lewat petang dan mematuhi arahan dikeluarkan PERHILITAN.
“Kita harap harimau itu dapat ditangkap segera untuk keselamatan penduduk, selain tidak mahu insiden harimau mati dilanggar pada 9 November lalu berlaku lagi,” katanya selepas merasmikan Seminar Semarak Malaysia MADANI di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Kampung Gajah di Pasir Salak, hari ini.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, pula ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes itu dan pegawainya sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Kita ada memasang satu perangkap harimau di lokasi berhampiran susulan laporan penemuan harimau belang sebelum ini,” katanya.