‘Babun’ yang bunuh kekasih 17 tahun terlepas hukuman gantung

‘Babun’ yang bunuh kekasih 17 tahun terlepas hukuman gantung

‘Babun’ yang bunuh kekasih 17 tahun terlepas hukuman gantung.

Seorang bekas pengawal keselamatan yang membunuh kekasihnya berusia 17 tahun pada 2015 lalu, terlepas hukuman tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis, menggantikannya kepada penjara 33 tahun dan 12 sebatan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan demikian selepas sebulat suara membenarkan rayuan akhir Tarmizi Yaakob, 28, supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Perintah hukuman mati diganti dengan hukuman penjara itu dan pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh tangkap iaitu bermula 25 Oktober 2015,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 26 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang menjatuhi hukuman mati terhadap tertuduh yang dikenali sebagai ‘Babun’ selepas didapati bersalah membunuh pelajar berusia 17 tahun itu di Teluk Kumbar, Georgetown antara 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan merogol, mahkamah menjatuhi tertuduh hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Tarmizi kerana merogol kekasihnya di tempat dan tarikh sama pada 7.30 pagi.

Sebelum ini, Tarmizi merayu terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh mangsa di Mahkamah Rayuan di sini dan mahkamah berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ketika prosiding, peguam, Azizul Shariman Mat Yusoff mewakili Tarmizi berkata, pihaknya telah menyerahkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 Ogos lalu supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman di bawah akta pemansuhan itu.

“Kami mendapat jawapan daripada pihak responden (pendakwa raya) bahawa tiada halangan untuk kami memohon hukuman di bawah akta tersebut.

“Sehubungan itu, pihak perayu tidak meneruskan rayuan terhadap sabitan bagi pertuduhan membunuh, namun hanya meneruskan rayuan terhadap hukuman sahaja. Pihak perayu juga tidak meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan merogol,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar kemudian mengesahkan perkara itu.

Susulan itu, Mohamad Zabidin membatalkan rayuan perayu terhadap sabitan membunuh serta sabitan dan hukuman bagi kesalahan merogol.

Semasa rayuan untuk meringankan hukuman, Azizul Shariman memohon penjara minimum dikenakan terhadap perayu dengan mengambil kira semasa kejadian dia pesalah muda (berusia 20 tahun).

Berdasarkan prinsip undang-undang beliau berkata, pesalah muda wajar diberi satu peluang untuk menjadikannya pengajaran serta tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

Menurutnya, kejadian ini bermula apabila rakan perayu, menunjukkan rakaman video teman wanita yang ingin dikahwininya, curang serta keluar dengan lelaki lain.

“Berdasarkan laporan psikiatri, walaupun perayu waras semasa kejadian tetapi dia mempunyai rekod pengambilan dadah jenis kanabis serta eramin 5, sejak berusia 17 tahun.

“Dia mengalami terencat akal yang minimum selain kurang kasih sayang memandangkan ibunya meninggal dunia semasa usianya 15 tahun,” katanya dan menambah Mahkamah Tinggi Georgetown memerintahkan perayu menjalani pemerhatian di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Bagaimanapun, Noorhisham berkata, semasa kejadian perayu telah menggunakan senjata iaitu pisau dan hasil laporan perubatan mendapati terdapat 18 kesan campuran pendarahan, lebam, luka dan melecet pada badan si mati.

“Terdapat juga kesan koyakkan pada selaput dara kemaluan si mati, punca kematian akibat luka kelar pada bahagian lehernya.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tidak kurang daripada 35 tahun,” katanya.

Baca lagi:
“Baru sahaja hendak tinjau ‘port’ untuk letakkan joran” – Pekerja kilang disapa Pak Belang lari tak cukup tanah
Bunyi ‘berdesir’ atas bumbung rumah didengari ibu hamil akhirnya terbongkar
Restoran mamak ‘kantoi’ sorok 550kg minyak masak peket, gula
CATEGORIES