ATM emas beroperasi 24 jam, orang ramai boleh beli emas bila-bila masa.
Syarikat logam berharga, Public Gold Group merancang untuk menyediakan 200 Mesin Teler Automatik (ATM) emas menjelang akhir 2025 bagi memudahkan orang ramai mendapatkan emas.
Pengurus Bahagian ATM Emas Public Gold, Denise Tang berkata, ketika ini terdapat 100 mesin ATM emas, atau dikenali sebagai Public Gold ATM, di seluruh negara. Rancangan itu sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap produk emas fizikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya merancang untuk menyediakan 50 ATM emas di Indonesia menjelang tahun hadapan dengan menawarkan pelbagai reka bentuk popular tempatan.
Perolehan daripada jualan jongkong emas di 100 ATM emas tersebut mencecah sekitar RM10 juta sejak Januari hingga sekarang, katanya kepada Bernama dalam temu bual di Wisma Public Gold, Bayan Lepas, baru-baru ini.
“Ketika ini, 100 ATM emas ditempatkan di lokasi strategik yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dan lapangan terbang. Kami mendapat permintaan yang baik daripada pelanggan yang ingin membeli emas melalui ATM.
“Orang ramai boleh membeli emas pada bila-bila masa kerana ATM tersebut beroperasi 24 jam sehari dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang terbaik, jadi pengguna tidak perlu bimbang mengenainya,” katanya.
Public Gold ATM menawarkan jongkong emas berketulenan 999.9 dengan berat emas antara 0.25 gram hingga lima gram, dan kemudahan ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ATM pertama yang mengeluarkan produk emas fizikal di negara ini.
Denise berkata, ATM emas kini disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Public Gold merancang untuk menempatkan ATM emas di semua lapangan terbang di seluruh negara, katanya.
“Jongkong emas yang ditawarkan di ATM emas itu adalah mengikut harga pasaran serta denominasi antara RM130 hingga RM2,000, dan pengguna juga boleh menjual semula di mana-mana cawangan Public Gold di seluruh Malaysia,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan bahawa permintaan bagi jongkong emas semakin meningkat kerana harga jualan lebih baik berbanding barang kemas, yang harganya akan menurun sekitar 20 hingga 30 peratus jika dijual semula.