Atlet renang mengamuk di majlis kahwin sendiri, tembak mati pengantin perempuan.
Seorang pengantin lelaki mengamuk dan melepaskan tembakan rambang menyebabkan empat maut, termasuk pengantin perempuan, sebelum menembak dirinya pada majlis perkahwinan di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand, semalam.
Pengantin lelaki itu adalah atlet renang paralimpik kebangsaan, dan kejadian kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan) itu turut menyebabkan seorang lelaki parah.
Atlet berusia 29 tahun itu yang kehilangan kakinya akibat nahas jalan raya sebelum ini, pernah memenangi pingat perak pada temasya Sukan Para ASEAN Ke-11 di Indonesia, tahun lalu.
Ketua Balai Polis Wang Nam Khiao, Pol Kol Rungroj Tang-amnuay, berkata pengantin lelaki itu menembak pengantin perempuan berusia 38 tahun, ibunya berumur 60 tahun dan adik perempuannya berusia 37 tahun.
Dua tetamu berusia 28 dan 50 tahun turut cedera terkena peluru sesat dan dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun, lelaki berusia 50 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Hasil siasatan awal mendapati tragedi berkenaan dipercayai berlaku akibat pertengkaran antara pasangan pengantin baharu itu.
Pengantin lelaki itu kemudian mengambil sepucuk pistol dari dalam keretanya sebelum melepaskan tembakan.