Atlet Mesir berhijab lawan atlet Sepanyol berbikini dalam aksi bola tampar raih perhatian.
Meskipun ada larangan pemakaian hijab dikenakan Perancis terhadap atletnya di Sukan Olimpik yang sedang berlangsung ketika ini, pasangan pemain bola tampar wanita Mesir tetap tampil beraksi dengan memakai pakaian menutup aurat.
Marwa Abdelhady dan Doaa Elghobashy mengenakan pakaian berwarna hitam dan berhijab ketika menentang Liliana Fernandez Steiner dan Paula Soria Gutierrez dari Sepanyol yang memakai bikini.
Insiden itu menjadi viral kerana perbezaan ketara pada pemakaian kedua-dua atlet berkenaan.
Selepas kekalahan 2-0 Mesir di tangan Sepanyol, pasangan itu dilihat berpelukan dengan baju lengan panjang, seluar panjang, dan tudung manakala lawan dari Sepanyol itu meraikan kejayaan mereka dengan bikini merah dan topi pelindung matahari.
Ia hadir selepas Perancis mengharamkan skuad Olimpik mereka memakai hijab, dengan Menteri Sukan, Amelie Oudea-Castera, berkata langkah itu dibuat untuk menghormati prinsip sekular.
“Saya mahu bermain memakai hijab, dia mahu memakai bikini, semuanya okay jika anda mahu berbogel atau memakai hijab. Hanya hormat perbezaan budaya dan agama,” kata Elghobashy kepada Expressen.
“Saya tidak memberitahu anda untuk memakai hijab dan anda tidak beritahu saya untuk memakai bikini. Tiada siapa boleh beritahu saya bagaimana untuk berpakaian.
“Ia negara bebas, semua orang sepatutnya dibenarkan melakukan apa yang mahu mereka lakukan.
”Amnesty International dan 10 lagi kumpulan menulis surat kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Jun bagi menarik balik larangan berkenaan sambil memberi amaran ia boleh menyebabkan atlet beragama Islam ‘didiskriminasi’.
“Wanita dan kanak-kanak perempuan di Perancis memang sudah lama memakai hijab dan mereka dilarang bermain dalam beberapa sukan termasuk bola sepak, bola keranjang, judo, bola tampar, dan badminton, walaupun pada peringkat remaja dan amatur,” kata surat berkenaan.
“Pengharaman hijab dalam sukan menyebabkan ramai atlet Muslim didiskriminasi, terdedah, dipinggirkan serta dimalukan, menyebabkan trauma dan pengasingan sosial, ada sebahagian sudah meninggalkan negara mereka atau mula memikirkan untuk mencari peluang di tempat lain.”