Askar US bakar diri di hadapan kedutaan di Washington, jerit ‘Bebaskan Palestin’

Askar US bakar diri di hadapan kedutaan di Washington, jerit ‘Bebaskan Palestin’

Seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang masih aktif bertugas meninggal dunia selepas membakar dirinya di luar Kedutaan Israel di Washington sebagai tanda protes terhadap kekejaman dilakukan rejim Zionis di Gaza.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 1 petang waktu tempatan pada Ahad itu disahkan sendiri Tentera Udara AS dan pihak berkuasa tempatan.

“Jabatan Polis Metropolitan bertindak balas terhadap panggilan di blok 3500 International Drive, NW, pada kira-kira 1.00 petang, untuk membantu Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat selepas seorang individu membakar diri di hadapan kedutaan di blok itu,” ujar Jabatan Polis Metropolitan Washington dalam satu kenyataan kepada CNN.

Askar US bakar diri di hadapan kedutaan di Washington, jerit 'Bebaskan Palestin'

Dalam video memaparkan kejadian itu yang diperoleh dan disemak oleh CNN, lelaki itu dikenal pasti sebagai Aaron Bushnell.

Menerusi klip tersebut, dia juga didengar berkata, “Saya tidak akan lagi terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai”, dan menyatakan bahawa tindakannya itu adalah sesuatu yang sangat kecil berbanding dengan penderitaan dihadapi rakyat Palestin.

Dia kemudian meletakkan alat rakaman di atas tanah sebelum menuang cecair yang tidak diketahui ke atas dirinya dan menyalakan api sambil menjerit melaung “bebaskan Palestin” berulang kali.

Lelaki itu kemudiannya dilihat rebah ketika anggota polis bergegas datang memadamkan api dengan alat pemadam api.

Jurucakap Tentera Udara AS, Rose Riley mengesahkan kepada CNN bahawa lelaki terbabit merupakan juruterbang yang masih aktif bersama pasukan tentera berkenaan.

Ekoran daripada kejadian itu, Aaron dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam pada itu, jurucakap Kedutaan Israel memaklumkan tiada kakitangannya yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Keganasan yang dilakukan Israel di Gaza dalam siri tindak balasnya terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu kini mengorbankan hampir 30,000 nyawa di wilayah yang dikepung itu.

Baca Juga:
Muslim Ahmad raih kemenangan sulung, lakukan serangan ‘lutut’ menang TKO
Lelaki meninggal dunia ketika pembedahan ubah bentuk ‘senyuman’
‘”Aku memang benci tahap langit, tak akan maafkan dia’” – Gadis trauma, abang ipar intai tengah mandi pukul 11 malam
CATEGORIES