Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ hampir siap, bantu rakyat Terengganu cari pasangan

Photo of author

By Syima Iza

Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ hampir siap, bantu rakyat Terengganu cari pasangan.

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) kini dalam proses membangunkan aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ bagi membantu rakyat negeri itu mencari pasangan hidup.

Perkara ini dimaklumkan oleh YPKT melalui satu hantaran di platform Facebook mengenai pelaksanaan aplikasi tersebut.

Aplikasi 'Jodoh Darul Iman' hampir siap, bantu rakyat Terengganu cari pasangan

Menerusi hantaran itu, aplikasi jodoh berkenaan dikatakan sudah hampir siap sepenuhnya.

Aplikasi Jodoh Darul Iman dibangunkan oleh Top IT Industries Sdn Bhd dan direka khusus untuk membantu rakyat Terengganu mencari pasangan secara percuma.

“Pada 3 November lalu, satu taklimat mengenai pelaksanaan program aplikasi Jodoh Darul Iman diadakan di Bilik Mesyuarat 2 di YPKT. Taklimat ini bertujuan untuk melihat perkembangan terkini aplikasi tersebut yang kini sudah mencapai tahap antara 97 hingga 98 peratus siap.
“Aplikasi ini direka khusus untuk memudahkan rakyat Terengganu dalam mencari jodoh secara percuma dan dalam taklimat berkenaan, pelbagai penambahbaikan dibincangkan bagi memastikan aplikasi ini berfungsi dengan lebih baik dan memenuhi keperluan pengguna.
“Dengan pelaksanaan aplikasi ini, diharapkan dapat membantu masyarakat Terengganu dalam membina hubungan yang lebih baik dan mengukuhkan institusi keluarga di negeri ini,” kata YPKT menerusi hantaran itu.

Sementara itu, menerusi portal rasmi YPKT, aplikasi ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan yang belum berkahwin untuk mendapatkan jodoh dengan lebih mudah dan sesuai secara maya.

Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan iaitu pemohon mestilah rakyat Terengganu yang berusia 21 tahun dan ke atas, dan pengguna yang mahu mencari jodoh mestilah individu yang belum berkahwin atau ibu/bapa tunggal yang berhasrat mencari pasangan.

Selain itu, bagi pengguna yang belum berkahwin, mereka hanya boleh menggunakan aplikasi ini untuk tujuan perkahwinan kali pertama sahaja dan bukan untuk tujuan berpoligami.

Baca Lagi:
“Anak jadi menantu pakcik nak tak?” – Lelaki mahu jodohkan pemandu grab dengan anak perempuan raih perhatian
Lelaki tuntut pampasan RM1.3 juta kepada kerajaan berkaitan nombor plat MADANI
Ini jumlah sepatutnya dimiliki rakyat Malaysia dalam akaun Simpanan KWSP ketika umur cecah 35 tahun