‘Apa nak jadi Malaysia?’- Warganet kurang senang lihat ramai warga Bangladesh santai berkelah di TBS.
Kehadiran warga asing dari Bangladesh yang semakin ramai di Malaysia menyebabkan sebilangan rakyat tempatan berasa kurang selesa.
Baru-baru ini, tular satu klip video yang menunjukkan sekumpulan warga Bangladesh duduk ‘berkelah’ di kawasan berumput di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Mereka dilihat berkumpul beramai-ramai sambil menghadap rel kereta api.
Suasana itu membuatkan warganet mengumpamakan kawasan tersebut sebagai ‘Mini Dhaka’, merujuk kepada ibu negara Bangladesh.
Netizen Mahu Pihak Berkuasa Ambil Tindakan
Rata-rata netizen meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kerana bimbang imej hab pengangkutan utama di Kuala Lumpur akan tercemar jika situasi ini dibiarkan berlarutan.
“Budaya dan cara hidup dari negara mereka dibawa ke sini,” luah seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen menyuarakan kebimbangannya dengan berkata, “Dah macam Dhaka, tolonglah penguatkuasa buat kerja sedikit.”
Apa nak jadi Malaysia? Lokasi TBS pic.twitter.com/Zmh1zX6Utu
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) February 3, 2025
Selain itu, ada juga yang menceritakan pengalaman mereka melihat warga asing tersebut menggunakan kemudahan di TBS secara beramai-ramai.
“Haritu sewaktu pergi TBS, mereka siap mandi dalam tandas sambil gosok gigi. Dah lah ramai-ramai pula itu,” kata seorang pengguna media sosial.
Orang ramai berharap agar tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keselesaan dan kebersihan di kawasan awam terus terpelihara.