‘Anmol’ kerbau jantan bernilai RM12 juta, makan 4kg buah delima setiap hari.
Seekor kerbau seberat 1,500 kilogram di Haryana dinilai pada harga 230 juta rupee (RM12 juta) disebabkan diet pemakanan khas yang diamalkan, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kerbau jantan yang diberi nama Anmol itu sering dipamerkan pada acara pertanian utama seperti Pushkar Mela dan Pameran Peladang Seluruh India di Meerut baru-baru ini.
Anmol mengamalkan diet bernutrisi tinggi yang ketat untuk membantu mengekalkan kesihatannya serta menyokong pertumbuhan dan staminanya.
Pemiliknya, Gill, membelanjakan hampir 1,500 rupee (RM79) setiap hari untuk makanan haiwan itu, yang terdiri daripada 250 gram badam, empat kilogram buah delima, 30 biji pisang, lima liter susu, dan 20 biji telur setiap hari.
Selain itu, Anmol juga diberi makan kek minyak, sayuran hijau, minyak sapi, kacang soya, dan jagung.
Untuk memastikan bulunya bersinar dan sihat, ia dimandikan dengan campuran minyak badam dan minyak sawi.
Reputasi Anmol dalam komuniti pertanian telah menarik perhatian ramai pihak yang berminat untuk membeli haiwan itu, dengan beberapa tawaran yang mencatatkan harga setinggi 230 juta rupee.
Namun, Gill berkata dia tidak berminat untuk menjual Anmol kerana haiwan itu sudah dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.