Anggota trafik, pengawal keselamatan diserang ahli keluarga mangsa maut nahas.
Seorang anggota polis trafik dan pengawal keselamatan TNB diserang sekumpulan lelaki susulan kes seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer(KM) 127, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda FS150F dan kereta Perodua Myvi.
Menurutnya, kira-kira jam 6 petang, pihak polis telah menerima makluman mengenai kejadian tersebut membabitkan seorang penunggang berusia 20 tahun maut di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan dipercayai pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan garisan berkembar dan semasa sedang membelok, datang penunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur melanggar kereta itu di bahagian sisi sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Mazlan, akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang bekerja di kedai besi buruk cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, tangkapan terhadap pemandu kereta Perodua Myvi itu juga telah dilakukan.
“Bagaimanapun, berlaku kekecohan di lokasi kejadian apabila didatangi hampir 10 orang terdiri adik beradik serta rakan mangsa dengan memukul pemandu kereta lain yang berada di lokasi kemalangan.
“Mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun dipukul lima lelaki tidak dikenali kerana telah merakam video pasca kemalangan yang turut menunjukkan situasi anggota trafik telah ditolak oleh beberapa lelaki semasa berada di tempat kejadian,” ujarnya.
Katanya, mangsa yang juga pengawal keselamatan luka di bahagian kening kanan.
Tambahnya, mangsa turut mengalami kerugian kira-kira RM2,000 akibat kerosakan kereta yang dialami dan kes di klasifikasi di bawah Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan (KK).
Ujar Mazlan, turut berlaku insiden tolak menolak serta maki hamun terhadap anggota polis yang menyiasat di lokasi kejadian.
Jelasnya, Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Temerloh berusia 37 tahun itu didatangi sekumpulan lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menerkam serta menolak anggota tersebut.
“Suspek tidak berpuas hati dengan anggota yang hadir di tempat kejadian yang didakwa tidak memberi bantuan kepada mangsa sedangkan anggota itu telah memanggil pihak ambulans.
“Anggota terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya kes di klasifikasi di bawah Seksyen 353 KK,” ujar beliau.