Anggota Rela temui ajal ketika sertai perbarisan Hari Kebangsaan.
Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) meninggal dunia selepas rebah pada perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan di Dataran Seremban, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, lelaki yang berusia 53 tahun dikatakan mengalami serangan jantung ketika sedang melakukan lintas hormat.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anggota RELA telah jatuh dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan lintas hormat di Dataran Seremban, kira-kira jam 10 pagi tadi.
“Pada pukul 12.25 tengah hari, pihak polis telah dimaklumkan oleh anggota bertugas kaunter aduan mengenai kematian mangsa di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah selain hasil bedah siasat juga mendapati punca kejadian adalah kerana masalah jantung.
“Bedah siasat telah dilakukan dan Bahagian Forensik HTJ telah mengesahkan punca kematian adalah kerana masalah jantung ‘coronary artery acclusion’.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”jelasnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.