Anak kambing ‘ketagih’ naik motosikal, merajuk jika tidak diajak

Photo of author

By Syima Iza

Rakaman video memaparkan telatah seekor anak kambing yang dibawa menaiki motosikal di sekitar kawasan Kampung Mengabang Panjang dekat sini mencuit hati pengguna media sosial.

Video berdurasi 15 saat itu dimuat naik di laman sosial Facebook pada Rabu sebelum pemiliknya Norin Rasyiqah Norazman, 23, muncul di ruangan komen mengaku bahawa kambingnya itu akan merajuk sekiranya tidak dibawa menaiki kenderaan itu.

Menurut Norin, kambing betina berusia enam bulan yang digelar Manja itu dibawa menaiki motosikal sejak berusia dua hari selepas dilahirkan.

Anak kambing 'ketagih' naik motosikal, merajuk jika tidak diajak

“Kambing ini dilahirkan di kandang berdekatan rumah, waktu lahir tu hanya ia seekor sahaja.”Bagaimanapun, selepas dilahirkan ibunya tidak memberi tumpuan kepada Manja termasuk tidak memberi susu menyebabkan kami membawanya pulang untuk dijaga di rumah sehinggalah usianya kini enam bulan.

“Disebabkan Manja tiada kawan, pada sebelah petang saya akan bawanya naik motosikal untuk ke kandang bertemu kambing-kambing yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Norin berkata, perjalanan dari rumah untuk ke kandang kambing itu mengambil masa kira-kira lima minit dengan menaiki motosikal.”Boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan bawa Manja naik motosikal untuk ke kandang kambing. Pernah juga saya terlupa untuk mengajak Manja ke kandang, ia seolah-olah merajuk dan perlu dipujuk.

“Waktu masih kecil dulu Manja lebih selamat diletakkan dalam raga motosikal, sekarang ia sudah semakin besar agak sukar untuk bawa naik bersama.

“Sekarang ni saya mahu Manja serasi berkawan dengan kambing-kambing yang lain supaya ia boleh ditinggalkan di dalam kandang,” ujarnya.Bercerita mengenai kaedah penjagaan Manja, Norin memberitahu, sepanjang berada di rumah Manja akan dipakaikan lampin pakai buang bagi mengelak ia kencing dan berak di merata-rata tempat.

“Waktu kecil dulu Manja diberikan susu untuk ia membesar dengan sihat. Manja juga makan apa yang kita makan seperti buah-buahan dan sayuran. Pengalaman berbuka puasa sebelum ni, Manja akan duduk dan makan bersama-sama ketika berbuka puasa.

“Manja juga suka mandi dan tidak takutkan air malah gemar duduk lama di dalam bilik air,”katanya.

Norin yang merupakan anak kedua daripada empat beradik aktif membantu bapanya memelihara kambing dan lembu selepas tamat alam persekolahan Tingkatan Lima.

Kegigihan gadis itu menceburi bidang ternakan membuahkan hasil apabila berjaya menjana pendapatan lumayan dengan turut memelihara pelbagai jenis lembu termasuk lembu sado daripada baka Charolies, Blue Belgian dan Blonde.

Selain itu, Norin turut memelihara kira-kira 100 ekor kambing dan biri-biri serta 700 ekor itik.

Baca Juga:
Lelaki mengamuk tak puas hati pembahagian harta pusaka bapa
Wanita tak puas hati tengking anggota pihak berkuasa tuntut sewa rumah PPR yang tertunggak
Lelaki India cakap Jawa style macam ‘bomoh Jowo’ curi tumpuan