Seorang anak lelaki sulung tergamak bertindak kejam ke atas ibu kandungnya yang lumpuh dalam kejadian di Jalan Satria, Pekan Palas Rumbai, Kota Pekanbaru, Riau, Indonesia pada 10 Mei lepas.
Lebih memilukan, aksi penganiayaan terhadap warga emas berusia 74 tahun itu dirakam oleh isteri pelaku yang berusia 51 tahun sebelum tular di media sosial sejak Jumaat.
Rakaman itu menunjukkan mangsa, Sufni, yang pada ketika itu berada di atas lantai, diseret tanpa belas kasihan oleh anak lelakinya sehingga terbaring.
Turut dilihat, anak lelakinya itu bertindak menampar pipi Sufni beberapa kali meskipun wanita berkenaan cuba untuk mengelak daripada terus diperlakukan sebegitu dengan menepis menggunakan tangannya.
Difahamkan, polis yang mengetahui perkara itu selepas rakaman video tersebut tular segera melakukan siasatan dengan hadir ke lokasi kejadian pada Ahad lepas.
Sufni kemudiannya mendedahkan kepada polis bahawa dia diperlakukan dengan teruk sehingga trauma selain mengalami kesan lebam dan luka di badannya.
View this post on Instagram
Sementara itu, siasatan polis mendapati kedua-dua pelaku, iaitu anak dan menantu Sufni, mengakui melakukan perbuatan zalim itu secara berulang kali ketika mangsa berada di rumah.
Polis kini mengenakan tindakan ke atas kedua-dua pelaku manakala warga emas itu pula sudah mendapatkan rawatan di hospital.
Sufni kini dijaga di rumah anak keduanya, Ardi, di Jalan Nelayan, Pekanbaru, Indonesia.