Ambulans bawa pesakit baru meninggal dunia terbalik dirempuh trak pikap.
Sebuah ambulans yang membawa pesakit lelaki yang baru meninggal dunia terbabas dan terbalik selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Chukai-Air Putih, berhampiran persimpangan lampu isyarat Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika ambulans terlibat sedang membawa seorang pesakit berusia 55 tahun dari rumahnya di Seberang Tayor ke Hospital Kemaman di sini yang disahkan meninggal dunia dalam perjalanan sebelum kemalangan.
Menurutnya, pemandu ambulans tersebut yang berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan manakala penolong pegawai perubatan berusia 27 tahun yang berada dalam kenderaan itu pula tidak cedera.
Katanya, ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda terbabit dalam perjalanan dari Teluk Kalong,menghala ke sebuah bengkel di Batu 2 di sini untuk menghantar barang syarikat.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu mahu membelok ke kanan jalan setelah lampu isyarat hijau.
“Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah ambulans dari arah simpang sebelah kanan masuk ke laluan kenderaan itu menyebabkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi tersebut terlanggar bahagian tepi belakang kiri ambulans itu sebelum terbabas dan terbalik,” katanya.
Hanyan berkata, pemandu pacuan empat roda itu berusia 59 tahun pula tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.