Along makin ‘besar kepala’ bekas suami tak bayar hutang, serang rumah dengan bom petrol

Photo of author

By Syima Iza

Along makin ‘besar kepala’ bekas suami tak bayar hutang, serang rumah dengan bom petrol.

“Saya tidak mampu tidur lena memikirkan keselamatan bayi yang baru berusia 10 bulan dan bapa yang sudah dimamah usia sejak rumah kami dibaling bom petrol (molotov petrol) Jumaat lalu,” kata seorang ibu tunggal di Pekan Nanas yang hanya mahu dikenali sebagai Pohlin, 27.

Kerani syarikat swasta itu berkata, pada hari kejadian, dia dan bapanya terlihat cahaya di luar rumah dan ketika itu turut mendengar jeritan jiran memaklumkan ada kebakaran berlaku di dalam kawasan rumahnya.

Along makin 'besar kepala' bekas suami tak bayar hutang, serang rumah dengan bom petrol

Menurutnya, dia dan bapanya terus berlari keluar sebelum mendapati terdapat kebakaran kecil bersebelahan pintu pagar dan bertindak pantas memadamnya.

Katanya, dia juga mendapati terdapat botol kaca yang pecah berbau petrol yang dipercayai bom petrol.

“Saya kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pada 6.24 pagi, terdapat dua individu menaiki motosikal berhenti di hadapan rumah dan menyimbah minyak serta menyalakan api serta baling ke dalam kawasan di hadapan rumah.
“Malah mereka juga menyimbah cat merah, meninggalkan notis di atas tembok pagar rumah bertulis alamat, nama suami saya dan meletakkan nombor telefon untuk dihubungi segera.

“Saya percaya ia perbuatan along (ceti haram) yang mengancam keluarga kami angkara bekas suami berhutang,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li hari ini.

Pohlin berkata, sebelum kejadian dia pernah beberapa kali menerima amaran bagi menjelaskan hutang menerusi panggilan telefon serta membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas termasuk pada 9 Disember 2023, 11 Disember 2023 dan 26 Januari lalu.

“Sebelum ini bekas suami pernah berhutang RM5,000 dari ceti haram dan dia mendakwa sudah menjelaskannya namun saya pelik mengapa kami tetap diganggu.

“Kami bercerai pada beberapa bulan lalu dan saya tidak mahu menanggung sebarang masalah bekas suami.

“Saya memiliki seorang anak iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan dan bapa berusia 60-an, saya semakin bimbang dengan keselamatan mereka.

“Saya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan menjaga bapa, diharap mereka tidak mengganggu lagi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Baca Juga:
Tak bayar hutang ah long, kereta jiran pun kena simbah cat, siap tinggal nota ugutan
Hobi pelik tapi menarik selebriti Hollywood yang ramai tak tahu
Selepas ‘Hot Daddy’ ditangkap, ramai pensohor video seks di laman sosial kecut perut