‘Aku jadi mangsa kakak sendiri, dipaksa mengasuh anak tapi dibayar RM10 je’

Photo of author

By Syima Iza

‘Aku jadi mangsa kakak sendiri, dipaksa mengasuh anak tapi dibayar RM10 je’. Mempunyai adik beradik yang masih bujang, lebih-lebih lagi yang tinggal berdekatan sememangnya mempunyai banyak kelebihan.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga dan dalam masa yang sama bekerja, ada kalanya berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan menyebabkan pertolongan daripada adik-beradik bujang amat diperlukan di saat kecemasan.

Tidak menjadi masalah sekiranya bantuan diperlukan sekali-sekala, namun lain pula kisah yang dikongsikan oleh seorang individu ini.

'Aku jadi mangsa kakak sendiri, dipaksa mengasuh anak tapi dibayar RM10 je'
Gambar hiasan

Tidak mendedahkan identiti diri, individu tersebut mengadu dia sering menjadi ‘mangsa’ kepada kakak sendiri yang memintanya menggantikan tugas pengasuh kepada anak-anak saudaranya apabila berlaku kecemasan.

“Aku kena jaga anak buah aku hari Sabtu dan Ahad, dan hari-hari tertentu kalau pengasuh dia tiba-tiba tak available.

“Aku nak keluar dengan kawan-kawan tak boleh sebab kena jaga anak dia, kena lepaskan peluang bekerja separuh masa yang bayar lumayan sedangkan kakak aku hanya beri RM10 untuk jaga anak dia selama beberapa hari,” luahnya menerusi satu kiriman mesej yang disiarkan di akaun Twitter.

'Aku jadi mangsa kakak sendiri, dipaksa mengasuh anak tapi dibayar RM10 je'

Jauh sekali mahu berkira, namun individu tersebut berkata dia berasa sedikit kurang senang seperti tidak mempunyai kebebasan untuk melakukan aktiviti serta meluangkan masa untuk diri sendiri.

“Duit poket tak ada, kebebasan tak ada, stres pasal study lagi, parents aku divorced.

“Jadi aku kena jaga rumah, memasak, mengemas dan sebagainya,” luahnya.

Tambah individu berkenaan, situasi tersebut membuatkannya dalam dilema antara tanggungjawab sebagai seorang adik dan juga kebebasan diri, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

“Aku kesian dekat kakak sebab diaorang susah dan sayanglah juga dekat anak dia…. tapi aku tak ada siapa nak kesiankan ke?” luahnya lagi sambil meminta pandangan daripada warga maya.

Sementara itu menjengah ruangan komen netizen, rata-rata mencadangkan agar individu tersebut berani menyuarakan pendirian kepada kakaknya agar tidak lagi sewewang-wenangnya dijadikan seperti ‘kuli’.

“Kita kena kesiankan diri kita dulu, baru kita kesiankan orang lain.

“Sama-sama adik beradik pun nak ambil kesempatan. Senanglah kakak dia. Tak payah susah-susah cari orang gaji.

“Makcik minta adik makcik mengasuh anak satu hari, tapi makcik tak adalah bayar RM10, makcik bayar RM200,” demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu, ada juga warga maya yang mengecam kakak individu berkenaan kerana mengambil kesempatan dan seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab kepada orang lain.

Baca Lagi:
Koleksi syiling lama milik arwah bapa ditemui selepas banjir
Kokurikulum: KPM beri kelonggaran pelajar pakai baju sukan buat ibubapa yang tidak mampu
Tiga beranak conteng kereta McLaren, ini hasilnya sangat mengejutkan